Wanita Pahang Set Rekod Baru, Beli Tudung Bernilai RM50,000 Kalahkan Wanita Kelantan

Makin lama makin mahal.

Trend membeli tudung eksklusif pada harga mahal nampaknya semakin menjadi-jadi dari tahun ke tahun

Sejak beberapa tahun lalu, kita boleh lihat semakin banyak tudung eksklusif dihasilkan daripada pelbagai jenama, yang mana masing-masing didatangkan dengan rekaan premium, mewah, dan penuh bergaya.

Koleksi tudung eksklusif ini bukan sahaja istimewa, malah ia juga terhad dan mempunyai tanda harga yang mencecah puluhan ribu Ringgit. Tak percaya?

Pada tahun 2017 dan 2018, dua orang ahli perniagaan dari Kelantan memecah rekod, masing-masing membeli tudung pada harga RM21,600 dan RM33,000

Kedua-dua tudung bawal tersebut merupakan tempahan khas yang dihasilkan di cawangan premium Bawal Exclusive (BE) iaitu As Galleria (AG) di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Menurut Pengurus AG, Rabiatu Hasmak Ghani berkata, harga tudung adalah bergantung kepada rekaan dan tampalan batu Swarovski yang menjadikan BE tudung berjenama mewah dan eksklusif.

Namun kali ini, seorang ahli perniagaan dari Pahang bakal merampas takhta tersebut apabila menempah tudung keluaran Bawal Exclusive yang mencecah RM50,000 sehelai!

Memetik laporan Harian Metro, pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd, Haliza Maysuri berkata, tudung berkenaan ditempah di cawangan premium Bawal Exclusive iaitu Butik Byqiss di bangunan Kuantan Centre Point baru-baru ini, dan kini dalam proses rekaan.

Pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd, Haliza Maysuri

Image via Bawal Exclusive / Facebook

“Kita sudah bertemu dengan usahawan wanita berkenaan baru-baru ini untuk membincangkan rekaan tudung dan jumlah serta saiz kristal Swarovski yang diimport khas dari Austria.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pereka Swarovski di Austria untuk menghasilkan rekaan batu seperti yang diminta oleh ahli perniagaan berkenaan,” katanya.

Haliza berkata lagi, harga bagi tudung bawal berkenaan dijangka antara RM45,000 sehingga RM50,000 dan akan diserahkan kepada ahli perniagaan itu sebelum Aidilfitri tahun ini.

“Harga sebenarnya masih belum ditetapkan kerana ia berdasarkan pemilihan dan jumlah batu Swarovski yang akan digunakan. Kain yang akan digunakan juga diimport dari Jepun malah kesemuanya adalah custom made,” kata Haliza.

Pembelian tudung Bawal Exclusive oleh ahli perniagaan ini jelas menunjukkan walaupun fesyen tudung bawal sudah popular sejak awal penggunaan tudung namun ia masih menjadi pilihan pengguna

“Hanya perubahan dalam rekaan dan pilihan fabrik saja memberi nafas baharu supaya tudung bawal terus memenuhi citarasa pengguna.

“Permintaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun meyakinkan kami untuk terus fokus dalam penghasilan tudung bawal ini dengan keunikan kristal Swarovski,” kata Haliza lagi.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment