Yaashwin Sarawanan aka 'Human Calculator' Raih Naib Juara Dalam Asia's Got Talent. Hebat!
Yay Malaysia!
Yaashwin Sarawanan aka Human Calculator atau Manusia Kalkulator telah berjaya mendapat naib juara dalam program realiti pencarian bakat, Asia's Got Talent!
Walaupun tewas ditangan peserta dari Taiwan, Eric Chien dengan persembahan silap matanya, remaja berusia 15 tahun itu bagimanapun telah berjaya mengalahkan lapan lagi peserta yang terdiri daripada pelbagai negara di seluruh pelusuk Asia Tenggara.
Pengumuman tersebut dibuat secara langsung sekitar jam 10.30 malam pada 11 April dari Marina Bay Sands, Singapura, di mana acara final pertandingan itu diadakan.
Juara Asia's Got Talent (AGT) ditentukan berdasarkan sistem pengundian para penonton. Selaku juara, Eric Chien telah berjaya memenangi hadiah lumayan sebanyak $100,000 USD, manakala Power Duo yang terdiri daripada dua orang penari dari Filipina pula telah mendapat tempat ketiga.
Meskipun mendapat tempat kedua, penyertaan Yaashwin dalam pertandingan itu tetap membanggakan kerana telah mencatat kejayaan tertinggi buat peserta dari negara Malaysia sepanjang bermulanya program tersebut pada tahun 2015
"Saya tidak menjangkakan untuk capai sehingga ke tahap ini. Saya juga tak sangka ramai yang terhibur dengan matematik. Oleh itu saya gembira melihat ramai yang terhibur dengan persembahan saya," kata pelajar dari SMK Bandar Tun Hussein Onn (2) itu.
Berkongsi mengenai perancangan akan datang, Yaashwin berazam mahu menyertai rancangan lebih besar iaitu Britain’s Got Talent demi meneruskan impiannya menjadi Manusia Kalkulator terkenal seluruh dunia.
“Selepas ini, saya memang mahu cuba pertandingan lebih besar. Saya tahu bakat sebegini akan dihargai di barat dan warga Asia sentiasa mendapat perhatian dalam bidang matematik.
“Bagaimanapun, saya juga akan terus mencari idea terbaik untuk menambah baik persembahan pada masa depan. Saya benar-benar mahu membuktikan bahawa bidang kira-kira juga perlu harus diiktiraf sebagai bakat,” katanya kepada Harian Metro.
Untuk persembahan terakhirnya di AGT, Yaashwin sekali lagi membuat persembahan menarik yang bukan sahaja mengejutkan para juri bahkan membuat penonton terpukau
Dalam persembahannya kali ini, remaja itu telah menampilkan pendekatan yang berbeza dari sebelum ini iaitu dengan menampakkan suasana seakan-akan di dalam kelas sekolah.
Yaashwin telah menjemput kesemua juri serta hos AGT untuk berlakon sebagai pelajar di dalam kelas itu manakala dia pula bertindak sebagai tenaga pengajar.
Sekali lagi membuktikan dirinya juga adalah 'Human Calendar', Yaashwin yang mengenakan jubah konvokesyen dalam persembahannya itu kemudian meminta juri-juri AGT iaitu Jay Park, Anggun, dan David Foster untuk memberi tarikh, bulan dan tahun peristiwa istimewa yang diingati ketiga-tiga juri itu untuk dia meneka hari peristiwa istimewa tersebut berlaku dengan tepat.
Ternyata, Yaashwin berjaya meneka hari bagi ketiga-tiga peristiwa itu dengan tepat yang mana telah mengejutkan semua yang berada di dalam dewan persembahan terakhir AGT.
Yaashwin kemudian meneruskan persembahannya dengan meminta ketiga-tiga juri dan salah seorang hos iaitu Justin untuk memberi nombor secara rawak untuk dia membuat pengiraan operasi tambah secara congak sementara seorang lagi hos, Alan, ditugaskan dan diberi kalkulator untuk membuat pengiraan bagi nombor-nombor yang disebut.
Sengaja menambahkan elemen lucu dalam persembahannya, Alan akhirnya tidak berjaya untuk membuat pengiraan tersebut menggunakan kalkulator ekoran nombor yang disebut para juri dan Justin dilakukan dengan terlalu cepat menyebabkan dia hilang fokus dan akhirnya give-up.
Disebabkan kecuaiannya itu, Alan kemudiannya didenda oleh 'Profesor' Yaashwin.
Semoga remaja ini berjaya dalam segala yang ingin dikecapinya. Yang pasti, satu Malaysia bangga dengan Human Calculator kita ini!