Malaysia Mungkin Perlukan Kubur Bertingkat, Ini Bagaimana Ia Berfungsi
Ada yang pernah tengok kubur bertingkat ini?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tidak dinafikan, sekarang ini isu kepadatan tanah perkuburan Islam mula menjadi perbincangan masyarakat
Perkara itu turut tular di laman X apabila seorang pengguna berkongsi sistem kubur bertingkat yang dikatakan bakal digunakan di Malaysia.
Dia menjawab pertanyaan itu selepas seorang pengikutnya bertanyakan bagaimanakah fungsi jika dilaksanakan kubur bertingkat.
"Singapore dah gunakan sistem kubur bertingkat ni utk muslim. Basically, kubur lama akan dikambus tanah dan atasnya diletak mayat baru (lepas 15 tahun+-).
"Akan datang, Malaysia mungkin akan laksanakan begini. Fatwa dah bincang lama benda ni. Ia diharuskan," tulisnya
Image via @acaiijawa (X)
Image via Harian Metro
Hukum membina kubur bertingkat
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Firman Allah SWT:
ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ
Maksudnya: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan; (Surah ‘Abasa: 21)
Al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: "Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat AI-Jami' Li Ahkam al-Quran, 19/219)
Difahami dari ayat ini bahawa menanam mayat manusia itu adalah sunnah Allah pada makhluknya, oleh itu mayat manusia tidak boleh dibuang sewenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sebagaimana yang berlaku. Ini adalah kemuliaan Allah SWT terhadap manusia.
Image via Sinar Harian
Bentuk kubur bertingkat
Fatwa yang kedua dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor yang diwartakan pada 7 Oktober 2004. Antara maklumat fatwa tersebut menyebut:
“Tanah perkuburan yang sudah penuh dan tiada kawasan lapang sebagai menambah keluasan tanah perkuburan, maka adalah disarankan bahawa menggunakan semula tanah perkuburan Iama dengan cara/kaedah: Menimbun tanah di atas kubur lama di kawasan tanah perkuburan setinggi 4 kaki. Kaedah ini amat sesuai di tanah perkuburan yang rendah.”
Kami dapati di sebahagian tempat meletakkan mayat dalam bentuk disorong ke dalam tanah. Ini juga ada yang melakukannya. Walaupun begitu, kami bersetuju dengan fatwa Negeri Selangor ini.
Negara yang melaksanakan pembinaan kubur bertingkat
Antara negara yang melaksanakan pembinaan kubur bertingkat ialah Mesir, Singapura dan mungkin beberapa negara lain.
Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan isu ini dan memutuskan seperti berikut:
- Setelah mendengar taklimat, pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, muzakarah berpandangan bahawa ia diharuskan dan tidak bertentangan dengan syarak, namun dengan syarat berada dalam keadaan darurat seperti, kepadatan penduduk dan lokasi tanah perkuburan yang terhad.
- Sehubungan itu, muzakarah bersetuju dan memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.
- Walaubagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya di samping mengambil kira aspek penjimatan kos dan seumpamanya.
Justeru, kami berpendapat hukum pembinaan kubur bertingkat adalah harus dan dibolehkan. Kami juga berpendapat yang sudah sampai masanya pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bekerjasama untuk melaksanakan perkuburan bertingkat bagi memaksimumkan penggunaan tanah kubur agar isu mengebumikan jenazah bukanlah suatu hal yang sukar dan tiada tempat untuknya. Ini merupakan fardu kifayah dalam mengebumikan jenazah mengikut hukum Syariat yang sebenar.
Semoga isu ketidakcukupan tanah kubur di bandar-bandar utama dapat diselesaikan dengan cara pembinaan kubur bertingkat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:
Leave a comment