KKM Keluarkan Amaran Berhubung Isu Dakwaan Kesihatan Produk ‘Hydrogen Inhaler’
Jangan terpengaruh dengan dakwaan kesan rawatan atau manfaat kesihatan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi amaran supaya orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan manfaat "hydrogen inhaler"
KKM dalam kenyataan memaklumkan mereka sudah sedia maklum mengenai aktiviti penjualan dan promosi peranti berkenaan termasuk pelbagai jenis dakwaan yang dikatakan dapat memberi manfaat kesihatan.
"KKM ingin menegaskan bahawa sebarang peranti perubatan yang dijual atau diguna di Malaysia mesti berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
"Penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti yang tidak berdaftar adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan," kata KKM.

Jangan terpengaruh dengan dakwaan janji kesan rawatan
KKM turut menasihatkan orang ramai, terutamanya warga emas untuk tidak terpengaruh dengan dakwaan rawatan atau manfaat kesihatan yang belum dibuktikan secara saintifik atau diluluskan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, KKM menasihati supaya sentiasa menyemak status pendaftaran mana-mana peranti perubatan melalui laman sesawang rasmi MDA sebelum membuat pembelian.

Orang ramai juga diminta untuk leibh berwaspada kepada kaedah jualan yang menyasarkan golongan berusia.
"Sebarang aduan berhubung penjualan peranti tidak berdaftar atau iklan yang mengelirukan boleh dikemukakan kepada KKM atau MDA untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai perlu mendapatkan nasihat pengamal perubatan berdaftar bagi sebarang isu berkaitan kesihatan dan tidak bergantung kepada dakwaan manfaat produk yang belum disahkan," katanya lagi.

Terdahulu, tular di beberapa media sosial mengenai penjualan "hydrogen inhaler" yang dikatakan mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan yang didakwa mampu melawan radikal bebas dalam badan serta mengurangkan keradangan sel.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via