Polis Thai Kongsi Tips Penting Buat Pemandu Malaysia Elak Kena Saman Jalan Raya
Moga selepas ini, kuranglah orang Malaysia yang selalu kena saman di Thailand.
Cover image via @vinvinlow91 / InstagramFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Thailand adalah salah satu destinasi paling popular buat rakyat Malaysia
Tidak kira motosikal ataupun kereta tetapi masih ramai rakyat Malaysia tidak cakna dengan undang-undang jalan raya Thailand.
Perkara ini berlarutan sehingga setiap kali musim percutian sekolah, sudah pasti akan ada rakyat Malaysia yang merungut di media sosial mereka telah disaman. Majoriti daripada kesalahan ini adalah kerana tidak sedar akan undang-undang negara lain.
Dikongsikan oleh Edwin Low di Instagram, dia telah berbual dengan seorang anggota polis Thailand mengenai beberapa perkara yang rakyat Malaysia perlu cakna sebelum bercuti di Thailand.
Digelar Abe Dee, beliau adalah seorang inspektor polis di Balai Polis Tak Bai, Narathiwat, Thailand.

Ini tips untuk elak dikenakan tindakan undang-undang oleh penguat kuasa Thailand
1. Lesen fizikal adalah wajib untuk rakyat Malaysia

Lesen digital tidak diterima oleh kerajaan Thailand. Oleh itu rakyat Malaysia perlu membawa lesen fizikal yang boleh didapatkan di JPJ dengan bayaran RM20.
"Rakyat Malaysia bila datang ke Thailand wajib guna lesen fizikal kerana undang-undang Thailand memerlukan kami melihat lesen fizikal," kata Anggota Polis tersebut.
Jika sudah tamat tempohnya, sudah semestinya lesen tersebut tidak boleh digunakan di Thailand.
2. Fungsi parkir warna penghadang jalan di Thailand

Thailand mempunyai tiga jenis warna penghadang jalan, setiap warna membawa makna berbeza-beza supaya anda tahu fungsi untuk parkir kenderaan anda.
Hitam-putih boleh diparkir seperti biasa. Merah-putih pula anda dilarang parkir di situ.
Buat kuning putih pula adalah untuk parkir sementara sahaja. Dalam kenderaan mestilah mempunyai orang untuk mengubah kenderaan itu selepas selesai urusan.
"Jika tiada penanda berwarna, kita perlu melihat keadaan trafik terutamanya jika menghalang lalu-lintas atau tidak," katanya.
3. Motosikal wajib ada kedua-dua cermin sisi dan ekzos tidak berbunyi kuat

Buat rakyat Malaysia, Thailand mewajibkan motosikal mempunyai kedua-dua cermin sisi dan memastikan bunyi ekzos tidak terlalu kuat.
Rider-rider yang ke Thailand adalah antara yang paling banyak disaman di sana.
"Yang perlu ada cermin sisi, kiri dan kanan. Dan ekzos mintalah jangan berbunyi terlalu kuat. Undang-udang di Thailand memerlukan motosikal mempunyai kedua-dua cermin sisi dan eksoz yang tidak berbunyi kuat," kata Abe Dee.
4. Peraturan di Thailand, keselamatan pejalan kaki adalah keutamaan

Undang-undang di Thailand, jika pemandu kenderaan melanggar pejalan kaki tidak kira sebab, masih akan menganggap pemandu bersalah. Perkara ini termasuk pelanggaran di laluan zebra.
"Kenderaan tetap salah. Tidak kira di laluan zebra atau tidak. Kitalah (sebagai pemandu) perlu mengambil perhatian jika memandu," ujar Abe Dee.
5. Tidak perlu menggunakan stiker nombor plat berbahasa Siam
Rakyat Malaysia juga dipesan bahawa tiada keperluan untuk menggunakan stiker plat nombor berbahasa Siam buat kereta Malaysia.

"Orang Thailand memahami apa yang telah ditulis di plat nombor Malaysia. Namun perkara ini berbeza buat warga Thailand yang ke Malaysia yang memerlukan stiker berabjad untuk mudah difahami penguatkuasa Malaysia," menurut Abe Dee.
Selain daripada undang-undang jalan raya, Abe Dee juga berpesan supaya rakyat Malaysia tidak membawa tiga barang ini:
1. Walkie talkie: Tidak dibenarkan kerana memerlukan kebenaran pihak berkuasa.
2. Drone: Juga memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa seperti dari Balai Polis dan Kem Askar.
3. Vape: Vape atau rokok elektronik yang menggunakan bateri. Mengikut undang-undang di Thailand adalah satu kesalahan.
Ini adalah untuk mengelakkan perkara tidak diingini atau salah faham daripada berlaku.
Perlu diingatkan kepada semua rakyat Malaysia, tidak kiralah ke mana destinasi percutian, anda perlu membuat kaji selidik mengenai undang-undang di negara lain yang mungkin berbeza daripada undang-undang Malaysia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


