SAYS Lancar Kempen ‘Just Flow With It’ Untuk Ubah Persepsi Masyarakat – “Haid Bukan Lagi Topik Tabu”
SAYS berharap topik haid tidak lagi dilihat sebagai perkara yang tabu.
Cover image via SAYSFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Perbualan mengenai haid dan kesihatan wanita masih dianggap sensitif oleh sebahagian masyarakat, namun perkara itu perlu diubah demi meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai
Oleh sebab itu, baru-baru ini SAYS telah menganjurkan sesi minum petang bertemakan 'Just Flow With It' yang menghimpunkan pakar kesihatan, wakil media dan tetamu jemputan bagi membincangkan isu berkaitan haid serta kesihatan wanita secara terbuka.
Acara yang berlangsung di Imperial Lexis Kuala Lumpur itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan SAYS untuk membiasakan perbualan mengenai kesihatan wanita melalui kandungan digital, aktiviti komuniti dan pengalaman dunia sebenar.


Banyak mitos tentang haid masih dipercayai
Antara pengisian utama acara tersebut ialah sesi perkongsian oleh Dr Chan Jin-Mae, Doktor dan Pengurus Negeri Persatuan Kesihatan Reproduktif Keluarga Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan (SWP FReHA).
Menurut beliau, masyarakat masih dibelenggu dengan pelbagai mitos berkaitan haid yang tidak mempunyai asas perubatan.
"Sejak sekian lama, topik haid sering diselubungi dengan bisikan dan misteri," katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa kepercayaan yang masih diamalkan sesetengah pihak seperti mengelakkan makan daging, hanya mengambil nasi putih, mengehadkan pergaulan sosial dan menggunakan pinggan mangkuk berasingan ketika datang bulan.

Dr Chan menjelaskan bahawa penggunaan istilah yang kurang tepat turut menyumbang kepada stigma terhadap kesihatan reproduktif wanita.
Menurutnya, istilah seperti 'bunga' atau 'kemaluan' sering digunakan bagi merujuk kepada organ reproduktif wanita sedangkan penggunaan istilah anatomi yang betul mampu membantu menormalisasikan perbincangan berkaitan haid dan seksualiti.
Beliau menegaskan bahawa haid merupakan proses biologi yang normal dan tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.
Kemiskinan haid masih wujud di Malaysia
Dalam masa sama, Dr Chan turut menyentuh isu kemiskinan haid atau period poverty yang masih berlaku dalam kalangan wanita dan remaja perempuan di negara ini.
Menurut beliau, kemiskinan haid berlaku apabila seseorang tidak mempunyai akses kepada produk haid yang mencukupi serta pengetahuan untuk menguruskan haid dengan selamat dan bermaruah.
Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, malah boleh menjejaskan pendidikan, kesejahteraan dan kualiti hidup individu yang terlibat.
Platform untuk suara wanita didengari

Selain menyediakan artikel, video dan kandungan interaktif berkaitan kesihatan wanita, hab kandungan Just Flow With It turut menawarkan ruang penghantaran tanpa nama bagi membolehkan orang ramai berkongsi pengalaman mereka sendiri.
Inisiatif tersebut diharap dapat membantu mengangkat lebih banyak kisah sebenar serta membuka ruang perbincangan yang lebih sihat mengenai haid dan kesihatan wanita.

SAYS juga memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti komuniti termasuk kelas kecergasan dan kesejahteraan percuma akan diteruskan dalam bulan-bulan akan datang sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan kesedaran mengenai kesihatan wanita.
Melalui gabungan pandangan pakar, perkongsian pengalaman sebenar dan penglibatan masyarakat, SAYS berharap topik haid tidak lagi dilihat sebagai perkara yang tabu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perbualan harian yang normal dan terbuka.
Untuk maklumat lanjut mengenai SAYS Just Flow With It, layari:
https://says.com/justflowwithit
Ikuti SAYS untuk perkembangan terkini:
● Instagram: https://www.instagram.com/saysdotcom/
● TikTok: https://www.tiktok.com/@saysdotcom
● Facebook: https://www.facebook.com/saysdotcom
● YouTube: https://www.youtube.com/@SAYSvideos
● X: https://x.com/saysdotcom
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


