makan

Lebih 24k 'Shares', Ini 7 Resepi Pes Ringkas Lauk-Pauk Popular Untuk Jimatkan Masa Masak

Sesuai untuk orang yang busy!

Cover image via Asrimah Bakri / Facebook

Bulan Ramadan memang agak menyibukkan terutama sekali untuk ibu-ibu yang bekerja yang sentiasa mengejar masa untuk beribadah, melakukan kerja rumah dan macam-macam lagi!

Dengan adanya "meal prep" ataupun persediaan sebelum memasak, anda pasti tidak akan terburu-buru lagi. Menurut perkongsian Puan Asrimah Bakri di Facebook yang telah memperoleh 24K shares, anda kini boleh menghasilkan 7 resepi pes atau perencah yang merupakan bahan asas kepada pebagai lauk-pauk. Dengan adanya pes-pes ini, anda hanya memerlukan masa penyediaan selama 30 minit sahaja. Memang jimat masa! 

Apa yang menarik tentang penyediaan ini ialah setiap pes boleh dibekukan selama 3 bulan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengubah resepi mengikut cita rasa dan kreativiti anda sendiri. 

Lihat 7 resepi pes masakan yang mudah di bawah:

1. Resepi Pes Sambal Tumis

Image via secukuprasa

Bahan-bahan

  • 2 biji bawang besar 
  • 2 biji bawang besar, dihiris bulat 
  • 5 ulas bawang putih 
  • 4 genggam cili kering, dipotong, direbus, dibasuh dan dikisar
  • Asam jawa
  • Garam, gula dan perasa, secukup rasa
Cara-cara
  1. Tumis semua serentak sampai pecah minyak dan naik bau.
  2. Masukkan asam jawa, garam, gula, perasa dan hirisan bawang. 
  3. Gaul sehingga sebati. Pes Sambal Tumis sudah siap. 
  4. Biarkan sejuk seketika dan bekukan. 
  5. Nyahbekukan apabila sudah sedia untuk digunakan.
  6. Tambahkan ikan goreng bilis ke dalam sambal tumis. 

2. Resepi Pes Asam Pedas

Bahan-bahan

  • 3 biji bawang besar 
  • 6 ulas bawang putih
  • 3 inci halia 
  • 2 batang serai, ditumbuk sedikit 
  • Seikat daun kesum
  • 1 sudu besar halba
  • 4 genggam cili kering, dipotong, direbus, dibasuh dan dikisar
  • Asam jawa
  • Garam, gula dan perasa, secukup rasa
Cara-cara
  1. Panaskan minyak, masukkan halba, serai.
  2. Tumiskan lada sehingga pecah minyak dan naik bau. 
  3. Masukkan pati asam jawa, garam, gula, perasa dan daun kesum.
  4. Biarkan masak selama 3 minit. Pes Asam Pedas sudah siap. 
  5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan. 
  6. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes.
  7. Masukkan ayam/ikan, bendi/tomato, air asam (lagi banyak, lagi kaw)

3. Resepi Pes Tomyam Merah

Image via mohonclashh

Bahan kisar

  • 10 biji bawang merah 
  • 5 biji bawang besar 
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 genggam cili kering (Tidak perlu direbus, terus dikisar) 
  • 10 biji cili api
  • 1 inci lengkuas
  • 3 inci halia
  • 5 batang serai
  • 5-6 helai daun limau purut
Bahan-bahan
  • 5 biji limau purut, diperah jus
  • Sos ikan 
Cara-cara
  1. Kisarkan semua bahan kisar sehingga lumat. 
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga naik bau. 
  3. Apabila sudah naik bau, masukkan jus limau purut, sos ikan, garam, gula dan perasa. 
  4. Gaul sehingga sebati. Pes Tomyam Merah sudah siap.
  5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan. 
  6. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes dan didihkan dalam periuk.
  7. Masukkan ayam/daging/seafood/sayur-sayuran dan taburkan daun ketumbar. 
Tips tambahan: 
  • Jika anda mahukan kuah tomyam yang pekat, kisarkan tomato sehingga menjadi pes dan masukkan ke dalam kuah.
  • Jika anda ingin menghasilkan tomyam kungfu, masukkan 3 sudu susu pekat.

4. Resepi Pes Tomyam Putih

Image via cookpad

Bahan kisar

  • 10 biji bawang merah
  • 5 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 10 biji cili api
  • 1 inci lengkuas
  • 3 inci halia
  • 5 batang serai
  • 5-6 helai daun limau purut
Bahan-bahan
  • 5 biji limau purut, diperah jus
  • Sos ikan
Cara-cara
  1. Kisarkan semua bahan kisar sehingga lumat.
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.
  3. Apabila sudah naik bau, masukkan jus limau purut, sos ikan, garam, gula dan perasa.
  4. Gaul sehingga sebati. Pes Tomyam Putih sudah siap. 
  5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.
  6. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes dan didihkan dalam periuk.
  7.  Masukkan ayam/daging/seafood/sayur-sayuran dan taburkan daun ketumbar.
Tips tambahan: 
  • Jika anda mahukan kuah tomyam yang lebih kaw, masukkan 3 sudu susu pekat.    

5. Resepi Pes Rendang Ayam

Image via caramasak

Bahan-bahan

  • 5 biji bawang besar 
  • 10 biji bawang kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 3 inci halia 
  • 2 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 6 batang serai
  • 2 genggam cili kering (Tidak perlu direbus, terus dikisar)
  • 2 kotak santan harmoni
  • Daun kunyit (Dihiris halus)
  • Daun limau purut (Dihiris halus) 
Cara-cara
  1. Kisarkan semua bahan-bahan sehingga lumat.
  2. Tumiskan sehingga pecah minyak dan naik bau.
  3. Masukkan santan, garam, gula, perasa, daun limau purut dan daun kunyit. 
  4. Gaul sehingga sebati. Pes Rendang Ayam sudah siap.
  5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan. 
  6. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes.
  7. Tumiskan pes dalam kuali dan masukkan secawan air.
  8. Tambahkan ayam dan masak sehingga kering dan ayam menjadi empuk.

6. Resepi Pes Sup

Image via theweekender

Bahan kisar

  • 5 biji bawang besar 
  • 10 biji bawang kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 5 inci halia
  • 6 batang serai
  • 6 sudu besar rempah sup Faezah, dibancuh dengan air
Bahan-bahan
  • Rempah 5 sekawan 
Cara-cara
  1. Panaskan minyak, masukkan rempah 5 sekawan.
  2. Tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau. 
  3. Masukkan bancuhan rempah sup dan tumis selama 2 minit. 
  4. Pes Sup sudah siap. 
  5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.
  6. Apabila sudah sedia untuk digunakan, masukkan pes ke dalam kuali.
  7. Tambahkan air dan asam jawa mengikut citarasa.
  8. Masukkan ayam dan sayur-sayuran.

7. Resepi Pes Kari

Image via homestayizzah

Bahan kisar

  • 5 biji bawang besar 
  • 10 biji bawang kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 5 inci halia 
  • 6 sudu besar rempah kari daging Faezah, dibancuh dengan sedikit air
Bahan-bahan
  • Rempah 5 sekawan 
  • 1 sudu halba
Cara-cara
  1. Kisarkan bahan kisar sehingga lumat. 
  2. Panaskan minyak, masukkan rempah 5 sekawan dan halba. 
  3. Tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.
  4. Masukkan bancuhan rempah kari dan tumis selama 2 minit. 
  5. Pes Kari sudah siap.
  6. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.
  7. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes. 
  8. Masukkan dalam kuali dan tambahkan asam jawa, ayam dan sayur-sayuran. 

Sangat mudah, bukan? Dengan penyediaan yang awal, anda tidak perlu meluangkan masa yang lama untuk menyediakan hidangan berbuka puasa atau sahur.

Jom cuba?

Image via giphy.com

Untuk dapatkan banyak lagi artikel seperti ini, LIKE Facebook Seismik Makan serta FOLLOW kami di Instagram sekarang!

Image via Seismik Makan

You may be interested in: