Adakah Hong Kong Selamat & 5 Perkara Yang Mungkin Anda Kena Bersedia Jika Melawat Kota Itu
Ada sesiapa yang rancang untuk ke Hong Kong dalam masa terdekat ini?
Satu ketika dahulu, Hong Kong merupakan destinasi pilihan pelancong dari serata dunia. Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada Jun tahun lalu.
Semuanya bermula gara-gara protes rakyat Hong Kong terhadap China yang merancang untuk membenarkan esktradisi dari kota itu ke China.
Rakyat Hong Kong yang sudah biasa hidup dengan pentadbiran mereka sendiri dan tidak tertakluk dengan sistem di China nyata menolak rancangan tersebut seterusnya membawa kepada protes besar-besaran.
Keadaan protes yang berlanjutan berbulan lamanya membuatkan para pelancong berfikir dua kali untuk melawat kota itu. Namun begitu, kerajaan akur dengan desakan rakyat dan mengumumkan rancangan tersebut kemudiannya dibatalkan pada September lalu.
Akan tetapi, protes tersebut berterusan kerana ada permintaan rakyat yang masih belum ditunaikan.
Persoalannya sekarang, adakah Hong Kong kini selamat untuk dilawati?
Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk melawat Hong Kong. Selama enam hari berada di sana, keadaan dilihat masih terkawal. Namun, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan pengumuman sekiranya berlaku sebarang protes.
Pada hari kedua saya di Hong Kong, terdapat pengumuman mengenai satu protes yang berlaku di Kowloon di mana orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan-kawasan tersebut.
Selain itu, jangan terkejut kalau terlihat vandalisme di atas jalan raya ataupun di dinding-dinding kerana itu semua adalah daripada protes yang berlaku. Cuma, anda dinasihatkan agar tidak mengambil gambar kerana ia mengundang perasaan kurang senang masyarakat sana.
Sementara itu, bagi mereka yang buat pertama kalinya ingin melawat Hong Kong, mungkin anda kena bersedia dengan perkara-perkara ini
1. Pengangkutan awam
Terdapat banyak variasi pengangkutan awam di Hong Kong antaranya seperti kereta api (MTR), bas, teksi dan juga ding ding.
Namun begitu, anda dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya menaiki teksi ataupun bas kerana ia boleh membuatkan anda pening kepala.
Saya sendiri berdepan dengan situasi yang mendebarkan setiap kali menaiki dua pengangkutan awam ini kerana pemandu memandu dengan laju dan sering bertukar-tukar laluan sedangkan kereta banyak di jalan raya serta lambat menekan brek. Seramnya!
Jika nak tahu apa rasanya, bolehlah cuba sendiri.
2. Tempat tinggal
Hong Kong merupakan salah satu kota yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Oleh itu, jangan terkejut jika melihat bilik hotel, hostel, guesthouse atau air bnb anda mempunyai ruang yang terhad.
3. Makanan halal
Tidak sukar untuk mencari makanan halal di Hong Kong terutamanya di kawasan Kowloon. Terdapat banyak kedai-kedai kebab berdekatan dan menariknya, mereka juga boleh berbahasa melayu!
Namun begitu, jika ingin merasai makanan cina yang asli ataupun Dim Sum, anda kena 'berjalan' sedikit kerana ia terletak di kawasan yang berbeza.
4. Mahal ke kos di sana?
Rasanya ramai yang tahu bahawa kos untuk ke Hong Kong adalah mahal. Ya, perkara itu tidak perlu disangkal kebenarannya.
Pertama kali menjejakkan kaki ke kota ini, saya sendiri terkejut dengan harga barangnya. Sekali makan sahaja, paling murah bersamaan dengan RM40. Selain itu, terdapat juga barangan lain yang harganya, nauzubillah.
Akan tetapi, tidak semua barang mahal harganya. Barang-barangan seperti elektronik dan coklat boleh tahan murah harganya. Yang penting, anda kena tahu di mana tempat-tempat untuk mendapatkan harga murah.
Sedikit tips, jika anda mahu membeli cenderahati yang berpatutan harganya, boleh melawat pasar mereka kerana barang-barang di sana sangatlah murah! Siap boleh tawar-menawar tau!
5. Rakyat Hong Kong peramah?
Menerusi pemerhatian saya, rakyat Hong Kong sejenis yang mind your own business. Mereka tidak pedulikan tentang orang sekeliling dan fokus dengan diri sendiri sahaja.
Selain itu, jangan risau kerana rakyat Hong Kong ramai yang boleh berbahasa Inggeris berikutan kebanjiran golongan expat dan juga warga asing di sana. Malah, setiap kali berjalan di kaki lima, perlbagai bahasa boleh kedengaran seperti kantonis, mandarin, Indonesia, Tagalog dan banyak lagi.
Kadang-kadang keliru juga berada di negara mana sebab banyak sangat bahasa.
Pengalaman selama berada di Hong Kong sangatlah bermakna kerana terlalu banyak perkara yang boleh dijadikan pengajaran. Bagi mereka yang merancang untuk ke sana, hati-hati ya!