Malas Membaca & 6 Lagi Perangai Pelanggan Paling 'Annoying' Yang Peniaga Online Kena Hadap
Macam-macam ragam ada.
Perniagaan secara dalam talian atau online kini bukanlah sesuatu yang baru malah sudah menjadi trend terutamanya bagi mereka yang baru mula menceburkan diri
Apa sahaja urusan yang berkaitan dengan pelanggan semestinya memerlukan kesabaran serta sikap profesional yang tinggi. Para peniaga terutamanya haruslah tidak mudah melatah serta emosi apabila berhadapan dengan pelanggan yang bermacam ragam.
1. Malas membaca
Malas baca apa ni? Baca caption dan juga details tentang produk yang dijual. Sudah terang lagi bersuluh penjual dah tulis tentang stok, saiz, warna, corak, nombor untuk dihubungi dan cara untuk membuat pembelian. Tapi akan ada juga sesetengah pembeli yang akan bertanya tentang perkara tersebut.
Bawa bersabar ya para peniaga sekalian. Bukan senang nak berurusan dengan pelanggan. Tak kiralah sama ada berniaga secara online mahupun offline.
2. Terlalu banyak bertanya
Bertanya bukanlah satu perbuatan yang salah, malahan amat digalakkan sekiraya kita nak tahu tentang sesuatu perkara. Namun, yang menjadikannya satu masalah kepada peniaga online ini adalah sikap pelanggan yang bertanya tak kira waktu. Dan kadangkala soalan yang ditanya tu adalah soalan yang sama! Terdapat juga kes di mana pelanggan ini sebenarnya hanya mahukan free consultation.
Sesabar mana pun seseorang penjual itu, kalau dah berhari-hari asyik ditanya soalan yang sama dan tiada langsung kata putus, layanan pun jadi tak ikhlas dan mood nak meniaga pun boleh hilang.
Nanti kalau tak dilayan, jadi cerita lain pula.
3. Nak barang cepat
Ini antara perangai pelanggan yang boleh buat peniaga online sakit kepala. Pelanggan mengharapkan produk yang dibeli itu boleh sampai pada keesokan hari atau pada tarikh duit di*bank in*.
Sedangkan kebanyakan daripada peniaga ini mempunyai jadual penghantaran untuk setiap produk yang mereka jual. Tambahan pula, jarak penghantaran antara pelanggan dan penjual juga haruslah diambilkira.
Seeloknya, pelanggan yang memerlukan produk dengan kadar segera dinasihatkan untuk membeli produk tersebut awal-awal dan bukan last minute sehingga boleh membebankan orang lain.
4. Minta diskaun melampau
"Tak boleh dapat harga diskaun ke?"
"Harga promosi dah takda ke?"
"Saya beli banyak ni, takkan tak dapat harga murah?"
"Kenapa mahal? Saya tengok xxx jual tak mahal macam ni."
Inilah antara soalan-soalan biasa yang perlu dihadapi oleh peniaga online setiap kali berurusan dengan pelanggan mereka. Promosi yang dijalankan selalunya dalam tempoh masa yang tertentu dan bukanlah sepanjang tahun. Malahan kebanyakan peniaga online kini lebih cenderung untuk menjual produk dalam bentuk pakej bagi memudahkan serta memberi penjimatan kepada pelanggan mereka.
Namun sekiranya pelanggan masih tidak berpuas hati dengan harga atau produk yang dijual, mereka boleh memilih untuk tidak meneruskan urusan pembelian kerana masih terdapat banyak pilihan dari peniaga lain boleh dipertimbangkan.
Jadilah pelanggan yang bijak!
5. Barang dahulu, bayar kemudian
Ini antara perangai pelanggan yang agak keterlaluan sebenarnya. Sudah terdapat banyak kes yang terjadi di mana pelanggan menghilangkan diri serta tidak dapat dihubungi setelah berjaya mendapatkan produk yang mereka ingini.
Disebabkan kes tersebut, rata-rata peniaga online sekarang tidak lagi menggunakan kaedah ini dan menggantikannya dengan kaedah "Cash on Delivery" atau COD. Kaedah COD ini lebih disenangi serta lebih mendekatkan para peniaga dengan pelanggan.
Namun, masih terdapat juga masalah dengan kaedah pembayaran secara COD ini iaitu..
6. ... tempat dan waktu COD yang asdfghjkl
Ada sesetengah pelanggan yang mahu berjimat dan tidak mahu membayar caj postage yang akan dikenakan sekiranya produk yang dibeli dihantar melalui sistem kurier. Jadi mereka memilih untuk menggunakan kaedah pembayaran secara COD yang lebih menjimatkan.
Namun, tidak semua tempat dan waktu sesuai untuk COD. Sekiranya pembeli tinggal di tempat yang jauh, adalah agak mustahil untuk menggunakan kaedah COD ini. Selain itu, waktu untuk COD juga haruslah bersesuaian. Janganlah sewaktu cuaca kurang mengizinkan atau lewat malam di tempat yang kurang sesuai serta kurang selamat.
7. Spy
Jangan tak tahu, ada peniaga online yang sanggup menyamar sebagai pelanggan semata-mata untuk mengetahui rahsia pesaing mereka. Pelanggan ini akan bertanya tentang bermacam soalan dan meneliti cara layanan, harga serta pakej yang pesaing mereka tawarkan.
Ingatlah untuk sentiasa berwaspada kerana inilah adat dalam berniaga. Bersainglah secara sihat serta percayalah dengan rezeki masing-masing.
Sebenarnya, bukanlah semua pelanggan yang membeli produk secara online bersikap seperti di atas
Kami percaya masih terdapat ramai pelanggan yang mempunyai sikap yang baik serta berbudi bahasa.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!