Abang Botak Hentak Cermin Kereta Dengan Helmet Bebas Dari Penjara
Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman telah berlangsung di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim, Jumaat, 7 Jun, yang lalu.
Sebelum ini riuh mengenai kes Danial Abdullah Tan atau ‘Abang Botak’ yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan gara-gara memecahkan cermin hadapan kereta milik Siew Chean Voon
Walau bagaimanapun, mengikut laporan dari Sinar Harian, Abang Botak hanya sempat bermalam selama enam hari di penjara sebelum dia dibebaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut.
Perkara ini berikutan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut yang mana pendengaran permohonan itu telah berlangsung di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim, Jumaat, 7 Jun, yang lalu.
Mahkamah turut menetapkan RM 6,000 sebagai jaminan dan memerintah Danial Abdullah Tan untuk melaporkan diri sebanyak dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan.
Semakan juga mendapati bahawa Danial turut memfailkan semakan terhadap hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Jun lalu
Peguam yang mewakili Danial, Nur Rafiuddin Maswari mengesahkan perkara tersebut.
Danial pada 31 Mei lalu telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku bersalah memecahkan cermin sebuah kereta di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, 5.30 petang, 28 Mei.
Ekoran insiden itu, dia terpaksa dihantar ke penjara kerana tidak membuat permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman.