seismik

Agong Tak Pernah Ambil Gaji Sepanjang 5 Tahun Berkhidmat

Al-Sultan Abdullah telah dilantik untuk memasuki Istana Negara pada 31 Januari 2019.

Cover image via SAYS & Sabah Baru News

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui tidak mengambil gaji Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sepanjang lima tahun memerintah negara

Menerusi laporan Harian Metro, baginda juga ada mendedahkan detik awal memikul tanggungjawab sebagai ketua negara ketika itu bukan sahaja dalam keadaan sukar akibat pergolakan politik malah berada dalam kekaburan dengan jawatan dan peranan yang perlu disandang.

"Detik pertama saya masuk Istana Negara memberi pengalaman agak manis apabila diingat semula. Ini kerana saya masuk ke jawatan yang saya sendiri tidak pasti apa peranannya.

"Ketika dilantik, saya baru 15 hari menjadi Sultan Pahang, banyak perkara yang saya masih tak tahu dan kemudian terus dilantik sebagai YDPA. Memang ia agak sukar bagi saya kerana tiada pengalaman, tetapi saya belajar perlahan-lahan.

"Ditambah dengan empat Perdana Menteri yang ada sepanjang lima tahun saya menjadi Agong, siapalah saya dibandingkan dengan mereka yang berpengalaman, tetapi saya banyak bertanya, belajar dan membaca,"
titah baginda.

Image via Utusan Malaysia

Baginda telah menghadiri 157 kali mesyuarat pra-Kabinet selama hampir satu jam yang ditukarkan pada setiap Selasa berbanding setiap Rabu sebelum ini

Sehari sebelum perjumpaan bersama Perdana Menteri, baginda akan membaca kertas Kabinet bagi membolehkannya mengetahui isu dibincangkan.

"Saya akan bertanya mana-mana kertas Kabinet yang saya perlu tahu dan jika tidak bersetuju, saya nyatakan pandangan itu.

"Alhamdulillah, segala pandangan dan nasihat saya diterima dan begitu juga sebaliknya. Kita ada kerjasama dua hala dan teguran saya kepada Perdana Menteri juga dimaklumkan kepada Kabinet.

"Hubungan baik ini perlu diteruskan kerana segala tadbir urus negara boleh diselesai menerusi mesyuarah antara YDPA dengan Perdana Menteri. Ada juga sesi dengan menteri dan jika ada isu dibangkitkan, ia juga diselesai secara berhemah.

"Saya suka menulis dan sepanjang lima tahun menjadi Agong, saya mencatat segala maklumat dan teguran penting kepada kerajaan, setakat ini sudah ada tujuh buku catatan itu.

"Saya suka membaca dan mendalami urus tadbir negara, ia sesuatu yang menarik. Ini kerana ketika di Pahang, saya menjadi Tengku Mahkota selama 16 tahun dan 15 hari sebagai Sultan Pahang, ini semua tak pernah saya lalui.

"Buku yang saya tulis ini juga boleh dirujuk semula ketika bersama keluarga apabila tua nanti, sekurang-kurangnya saya boleh berkongsi dengan anak-anak apa peranan saya ketika menjadi Agong.

"Ada rakan mencadangkan saya menulis memoir tetapi bukan sekarang. Saya juga ada mempelawa satu universiti jika mahu membuat kajian kes, saya sedia berkongsi pengalaman mengenai apa yang dilalui sepanjang menjadi Agong," titah baginda.

Image via Sabah Baru News

Tugas YDPA bukan saja mendengar nasihat daripada Perdana Menteri, tetapi juga boleh mendapatkan mana-mana maklumat berkaitan urus tadbir negara daripada pihak lain

Titah baginda, ini membuktikan kuasa YDPA sangat luas walaupun tiada kuasa eksekutif, tetapi ia cukup untuk melunaskan urusan tadbir negara dalam konteks yang dibenarkan Perlembagaan.

"Agong juga berperanan sebagai panglima tertinggi tentera, namun peranan itu mungkin boleh diperkukuhkan lagi, bukan setakat ambil tabik saja.

"Polis baru-baru ini ada cadangan menjadikan YDPA sebagai ketua kehormat yang akan dibincang dalam Parlimen pada masa terdekat. Ini formaliti saja supaya Agong boleh memakai seragam polis dan ini sesuai dengan perkataan diraja pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu," titah baginda.

Mengulas tindakan baginda sering merujuk sesuatu isu kepada Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum keputusan dibuat mengenainya, Al-Sultan Abdullah bertitah, ia dilakukan bagi menghormati pelantikan baginda ke jawatan itu dibuat oleh majlis berkenaan.

"Saya sedar lantikan saya dibuat dengan perkenan MRR dan saya bertindak juga bagi mewakili MRR. Apa yang saya buat ialah saya bermesyuarah dan berbincang yang akhirnya saya sendiri akan membuat keputusan mengenainya.

"Contohnya, Perdana Menteri dilantik oleh YDPA tetapi perkara itu saya bincang dengan MRR, saya dengar pandangan dan maklumkan keputusan siapa yang akan dilantik," titah baginda.

Sementara itu, baginda gembira untuk pulang ke Pahang dan menyantuni rakyat di negeri berkenaan dan mengakui peranan terbabit berbeza ketika memimpin negara.

"Saya suka berjumpa dan membantu rakyat kerana ia memberi semangat kepada saya. Sebenarnya banyak kerja yang perlu dilakukan di Pahang nanti sebab saya hanya sempat menjadi Sultan Pahang selama 15 hari saja sebelum ini.

"Kini rakyat menantikan saya sebagai Sultan, jadi saya dan isteri, akan melawat setiap daerah untuk bertemu rakyat dan membantu mereka yang miskin.

"Bagi saya, mungkin saya bukan raja Malaysia lagi selepas ini, tetapi saya tetap akan jadi raja di hati anda semua selamanya," titah baginda.

Image via Sabah Baru News

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: