Akaun 3 KWSP Berkuatkuasa 11 Mei, Ini Saranan Pakar Ekonomi Untuk Anda Patuhi
Pencarum wajar melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan peribadi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mempunyai tahap disiplin yang tinggi agar tidak sewenang-wenangnya membuat pengeluaran caruman Akaun 3 atau Akaun Fleksibel
Dalam membuat saranan ini, Felow Kanan merangkap Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Muhammad Hisyam Mohamad menekankan, akaun berkenaan perlu digunakan untuk keperluan penting dan dalam masa yang sama, pencarum wajar melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan peribadi.
Menerusi laporan, beliau berkata, walaupun KWSP membenarkan pencarum membuat pengeluaran Akaun 3 pada bila-bila masa yang berkuatkuasa mulai 11 Mei ini, hakikatnya langkah itu bukanlah matlamat asal dana persaraan itu.
Tambahnya, KWSP secara umum adalah akaun simpanan untuk persaraan dan sememangnya sebelum ini pencarum dibenarkan membuat pengeluaran dari Akaun 2 bagi tujuan seperti pendidikan, kesihatan atau perumahan.
"Kali ini Akaun 3 yang diwujudkan bertujuan memenuhi keperluan asas dan mereka yang berhadapan isu 'kecemasan'. Langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu anggota masyarakat yang sedang berhadapan isu kos sara hidup dan pada masa yang sama masih dibelenggu dengan masalah upah atau gaji yang rendah.
"Namun begitu, apa yang dibimbangi ialah pengeluaran dibuat semata-mata untuk berbelanja bagi perkara yang bukan mendesak seperti membeli gajet, menghias rumah, menukar aksesori kenderaan atau tujuan fesyen lebih-lebih lagi sekarang ini ia boleh dibuat menerusi kaedah 'beli sekarang bayar kemudian'," katanya
Merujuk laman web https://www.kwsp.gov.my/, KWSP menjalankan penstrukturan semula akaun pencarum untuk meningkatkan keselamatan pendapatan selepas persaraan dan bagi menangani keperluan jangka pendek golongan itu.
KWSP telah memperkenalkan tiga akaun baharu iaitu Akaun Persaraan yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, untuk simpanan hari persaraan; Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2 untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan dan yang terkini Akaun 3 atau Akaun Fleksibel yang diperkenalkan pada 25 April lepas yang memberikan fleksibiliti kepada pencarum untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Berkuatkuasa pada 11 Mei 2024, caruman baharu akan diagihkan mengikut peratusan: Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus) berbanding sebelum ini, Akaun 1 (70 peratus) manakala Akaun 2 (30 peratus).
Selepas penstrukturan semula akaun dilaksanakan, baki sedia ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera masing-masing, sementara Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. Kadar dividen adalah sama untuk semua akaun.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad Hisyam berkata langkah memperkenalkan Akaun 3 sedikit sebanyak dapat mengatasi isu pengeluaran caruman secara besar-besaran seperti yang berlaku semasa negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.
"Bagaimanapun dari sudut yang lain pula, pengenalan Akaun 3 ini menyebabkan 10 peratus wang simpanan yang sepatutnya berada dalam KWSP bagi tujuan persaraan atau perumahan, pendidikan atau kesihatan sebelum ini, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh pencarum.
"Dengan kata lain, sekiranya pencarum kerap membuat pengeluaran menerusi Akaun 3, ia boleh menyebabkan 10 peratus simpanan hari tua mereka berkurangan sebelum persaraan.
"Walaupun jumlahnya 10 peratus, ia tidak boleh dipandang ringan memandangkan menjelang 2030 kita akan menjadi negara menua dengan jangka hayat penduduk semakin panjang dan pada masa yang sama kos sara hidup terus meningkat.
"Tanpa simpanan persaraan yang mencukupi, situasi ini akan menyukarkan kehidupan pencarum yang terlibat nanti," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!