“Alhamdulillah Syukur, Dr Halina Hamil 13 Minggu & Bayi Kembar Lagi” - Dr Sheikh Muszaphar
Kami memang selalu mengimpikan untuk mempunyai keluarga besar, jelas Dr Sheikh Muszaphar.
Tidak dinafikan, segelintir pasangan sememangnya punyai impian untuk memiliki bayi kembar
Namun begitu, perancangan untuk memiliki bayi kembar ini tidak semestinya akan berhasil dan menjadi. Ada kalanya, ia bergantung kepada rezeki pasangan itu. Jika mereka tidak ada sejarah dalam kalangan ahli keluarga yang memiliki kembar, maka ia akan lebih menyukarkan pasangan itu untuk hamil bayi kembar.
Walau bagaimanapun, ia juga bergantung kepada rezeki dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Mana tahu, tiada sejarah memiliki kembar dalam keluarga, tapi dengan berkat doa, Tuhan kurniakan juga.
Semua itu rezeki.
Bercakap tentang bayi kembar, rata-rata rakyat Malaysia mengenali Dr Sheikh Muszaphar sebagai seorang angkasawan negara pertama.
Malah, ramai juga yang menjadikannya sebagai idola atau ikon.
Semalam, beliau telah memuat naik sebuah posting di laman instagram miliknya @drsheikhmuszaphar untuk memberitahu orang ramai bahawa isterinya, Dr Halina kini sedang hamil 13 minggu. Malah, apa yang lebih mengejutkan orang ramai, bayi yang dikandungkan oleh Dr Halina itu adalah bayi kembar.
Kegembiraan berita tersebut telah dikongsikan oleh Dr Sheikh Muszaphar melalui caption gambar mereka sekeluarga yang kini berjaya meraih hampir 140,000 tanda suka ketika artikel ini ditulis.
Tambahan pula, ruangan komen juga dibanjiri oleh komen orang ramai mengucapkan tahniah serta mendoakan agar segala urusan keluarga ini dipermudahkan.
Menurut perkongsian yang ditulis, Dr Sheikh Muszaphar menjelaskan bahawa mereka berdua sering mengimpikan untuk memiliki keluarga besar.
Alhamdulillah, Allah SWT perkenankan doa mereka.
Bukan setakat itu sahaja, paling menarik apabila Dr Sheikh Muszaphar memperkenalkan isterinya sebagai 'Dr Halina' di dalam perkongsian itu sehinggakan trending di Twitter.
Comel sangat ni!
Kami daripada team SAYS Seismik mengucapkan ribuan tahniah buat pasangan ini.
Semoga segala urusan Dr Halina ketika mengandungkan bayi kembar ini dipermudahkan. :)