seismik

"Saya Bersumpah Dengan Nama Allah, Kalau Saya Bohong, Cabutlah Nyawa Saya" - Ali Puteh

Hanya mereka yang tahu perkara sebenarnya.

Cover image via meletop

Lebih seminggu Allahyarham Abam Bocey meninggal dunia, semalam timbul pula isu membabitkan pertelingkahan di antara adik kepada arwah, Ali Puteh, balu arwah, Siti Nurhidayah dan juga seorang usahawan kosmetik tanah air

Kontroversi tersebut bermula apabila usahawan kosmetik itu memberikan sumbangan kepada balu Almarhum Abam di rumahnya baru-baru ini.

Namun ketika sesi temu bual di antara Nurhidayah dengan usahawan kosmetik itu dibuat secara live, terdapat kenyataan daripada wanita tersebut yang mengundang rasa kurang senang Ali dan juga keluarganya.

Antara kenyataan yang dikeluarkan Nurhidayah adalah dia mendakwa kereta milik Abam telah diambil oleh keluarga arwah sehingga menyukarkan dia untuk menghantar anaknya, Hamzah ke klinik akibat demam.

Selain itu, dalam temu bual tersebut Nurhidayah juga mendakwa bahawa dompet dan juga telefon bimbit milik Abam turut diambil. Bukan itu sahaja, Nurhidayah turut mendakwa bahawa dia telah dihalau sehelai sepinggang dari rumah keluarga arwah.

Dakwaan yang dikeluarkan oleh Nurhidayah itu telah membuatkan Ali berang sehingga dia mengeluarkan kenyataan yang tidak senang kepada wanita berkenaan. Bahkan ekoran daripada temu bual itu, Ali juga teruk dihentam netizen yang rata-ratanya menganggap dia dan seluruh ahli keluarganya cuba membolot harta arwah.

Susulan daripada kontroversi tersebut, Ali kemudiannya tampil bagi menjelaskan perihal yang sebenar berhubung kenyataan kakak iparnya itu

Ini penjelasan @aliputeh89, tentang hal pembahagian harta... #RiaX #RiaXpose #aliputeh #aliffsyukriterlajaklaris

Posted by Ria X on Thursday, February 20, 2020

Dalam temu bual bersama Ria X semalam, Ali berkata beliau terlebih dahulu telah membuat perbincangan bersama kakak iparnya bagi menguruskan hal-hal yang penting khususnya membabitkan hutang arwah.

Bagi dakwaan yang menyatakan bahawa telefon bimbit Abam turut diambil, dia berkata perkara itu dilakukan dengan bersebab.

"Untuk isu telefon bimbit, saya yang menguruskan abang saya sebelum saya menjadi seperti sekarang. Tujuan saya meminta telefon bimbit itu adalah kerana saya tahu banyak perkara berkaitan kerjanya ada di situ.

"Di situ juga saya dapat periksa kalau-kalau arwah ada sebarang hutang yang perlu dilangsaikan. Saya dan keluarga tak perlukan pun telefon itu kerana masing-masing, arwah dah belikan telefon bimbit.

Dalam handphone tu tidak ada harta, ia adalah kerja dia dan hutang-piutang dia yang perlu kita jelaskan," katanya.

Bagi dakwaan yang menyatakan bahawa dompet milik Abam juga turut diambil, Ali berkata tujuannya berbuat demikian adalah untuk mendapatkan maklumat kad ahli Seniman arwah abangnya

Image via Astro Awani

Katanya, dakwaan kakak iparnya bahawa dompet milik arwah diambil pihak mereka adalah satu perkara yang besar.

"Sebenarnya, saya terima panggilan daripada seorang sahabat yang inginkan maklumat mengenai nombor keahlian Persatuan Seniman yang dianggotainya untuk menguruskan khairat kematian," katanya.

Namun apa yang mengejutkan, Ali berkata ketika dia menerima dompet abangnya itu, apa yang tinggal di dalamnya hanyalah kad-kad biasa tanpa wang dan juga beberapa kad bank.

"Jadi, bila saya tanya kepadanya, dia cakap tak ada duit dan arwah tak ada tinggalkan apa-apa. Mustahil kerana saya bersama arwah selama 31 tahun dan saya tahu abang saya memang sentiasa akan ada duit bersamanya. Saya pesan kepadanya, kalau termakan duit itu, itu kesilapan kerana belum faraid apa-apa.

"Dia juga pegang kad bank arwah. Saya tanya kenapa dia buat begitu sedangkan kita dah berbincang untuk saya uruskan semuanya. Kalau dia takut saya ambil duit dari akaun arwah, tak ada gunanya sebab kalau seseorang sudah meninggal, akaunnya akan disekat. Saya cuma nak kumpul semuanya untuk tujuan faraid," kata Ali lagi.

Dalam video rakaman berdurasi hampir setengah jam itu, Ali juga menjelaskan dakwaan kononnya kereta milik Abam turut diambil keluarganya

Image via Malaysiakini

Ujar Ali, ketika hayat abangnya masih ada, arwah mempunyai dua biji kereta iaitu kereta jenis Toyota Vellfire dan juga Perodua Myvi. 

"Vellfire itu saya dan arwah yang susun dan beli. Bila dia meninggal dunia, itu adalah hutang. Saya dah terangkan kepada isterinya mengenai amaun bayaran bulanan dan sekiranya dia mampu, dia boleh menyambung bayar," katanya.

Ali menegaskan bahawa dirinya sendiri sudah memiliki beberapa biji kereta dan dia tidak berniat sedikit pun untuk mengambil kereta milik arwah. Bagi kereta Myvi pula, ini penjelasan Ali:

"Satu lagi kereta adalah MyVi yang disambung bayar oleh arwah daripada pakcik kami. Sebelum arwah meninggal, dia ada meminta pakcik saya untuk kirakan berapa jumlah baki hutang.

"Dia juga meminta supaya bila dah selesai bayar, dia nak tukarkan nama pemilikan MyVi itu kepada isterinya. Benda itu pun saya dah terangkan kepada isterinya. Tapi, sementara itu saya yang bertanggungjawab menyusun semuanya supaya lebih mudah urusan selepas ini," katanya.

Ali kemudiannya menjelaskan dakwaan Nurhidayah yang mengatakan bahawa dia telah dihalau sehelai sepinggang oleh keluarga mentuanya adalah tidak benar

Image via kotakmedia

Kata Ali, dakwaan yang dikeluarkan kakak iparnya itu adalah tidak benar sama sekali malah tindakan itu dibuat dengan kerelaannya.

"Kalau mengikut hukum, tempoh edah adalah selama empat bulan 10 hari. Tapi, pada hari keenam, dia ambil keputusan untuk keluar bersama keluarganya.

"Saya beritahu dia bahawa esok adalah hari ketujuh arwah meninggal dunia dan nak diadakan majlis tahlil. Saya tak tahu, mana isi hati dan keperibadian dia sebagai balu. Dia tetap nak balik pada petang Sabtu itu juga."

Apa yang lebih mengejutkan, dia berkata selepas kakak iparnya keluar dari rumah itu, mereka melihat bilik yang pernah diduduki wanita tersebut dan arwah abangnya kosong dan beberapa barang juga turut diambil. 

"Untuk isu sehelai sepinggang pula, itu mustahil kerana biliknya tak ada barang termasuklah wang-wang tabungan serta koleksi jam tangan mahal milik arwah. Semuanya dibawa bersama," katanya lagi.

Jelasnya, persetujuan telah dibuat bersama kakak iparnya selepas hari kedua Abam meninggal dunia agar dia membantu menyusun proses faraid supaya lebih mudah.

"Cumanya, persetujuan yang dibuat pada hari kedua adalah untuk saya membantu menyusun proses faraid itu supaya lebih mudah dan dia sendiri pun bersetuju," katanya.

Malah katanya, dia juga turut arif tentang hukum Islam dan tahu akibatnya jika mengambil hak waris si mati.

Beliau dalam pada itu turut bersumpah bahawa kenyataan yang dikeluarkannya itu adalah benar belaka

"Saya bersumpah dengan nama Allah, kalau saya bohong, cabutlah nyawa saya. Saya lagi rela mati daripada ibu saya dihina sebegini."

Menyedari kekhilafannya, Ali turut meminta maaf jika terdapat kenyataan daripadanya yang menyinggung pihak lain. Namun, dia turut meminta serta berharap agar dia sekeluarga tidak lagi dihina dan dkeji.

"Harapan saya kepada semua, maafkan kami sekiranya terkasar bahasa. Saya juga maafkan semua. Janganlah dihina dan dikeji keluarga kami.

"Saya naik bukan kerana diri saya, tapi kerana Allah dan anda yang mengangkat kami adik beradik. Kalau dah tak perlukan saya, saya rela undur diri dari industri untuk jaga mak saya," katanya.

Dalam bab ini, hanya pihak mereka yang tahu perihal sebenarnya. Sebagai orang luar, eloklah kita doakan yang terbaik sahaja buat mereka.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

You may be interested in: