Arahan Suntikan Vaksin Booster Ketiga Bakal Dikeluarkan Susulan Kes Covid-19 Meningkat
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan baharu bagi pengambilan suntikan dos penggalak Covid-19 ketiga dalam masa terdekat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kumpulan sasaran diutamakan untuk dos penggalak ketiga
Menerusi laporan Harian Metro, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu bahawa KKM akan mengeluarkan arahan tertentu berkenaan dos penggalak ketiga terutamanya untuk kumpulan rentan yang mempunyai komorbiditi dan warga emas.
"Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.
"Kita sedar ada sedikit peningkatan kes dan mutakhir adalah dalam lebih 12,000. Saya telah memberitahu Kabinet semalam untuk maklum kepada Perdana Menteri dan ahli akan situasi ini dan wajar kita berikan perhatian," katanya.
Tambah beliau, sekiranya arahan itu berkuat kuasa, bekalan vaksin sedia ada yang belum tamat tarikh luput masih mencukupi dan ia berupaya melindungi penerima daripada strain varian termasuk varian baru.
Peningkatan kes berkait dengan pergerakan orang merentas negeri menjelang cuti akhir tahun
Tambah Dr Dzulkefly, trend peningkatan kes Covid-19 terkait dengan pergerakan orang merentas negeri menjelang cuti akhir tahun tanpa memakai pelitup muka dan keadaan cuaca.
"Adalah wajar diberi perhatian dan dalam keadaan sesak sebaiknya gunakan pelitup muka dan juga bagi individu bergejala, supaya dapat selamatkan orang lain dengan pelitup muka," katanya.
Ketika disoal tentang keperluan saringan ketat di pintu masuk negara, beliau menjawab, langkah pencegahan yang sesuai akan diambil segera sekiranya diperlukan.
"Semua ini kriteria yang jelas andai keperluan itu timbul, kita dengan segera akan mengambil langkah intervensi dan mitigasi yang lebih sesuai. Kita tidak mahu terlalu cemas, tapi kita juga tidak ambil mudah," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!