Habis Duit Berjoli Di Batam, Lelaki Warga Malaysia Nekad Merompak Untuk Pulang
Difahamkan, lelaki itu merompak menggunakan pistol airsoft dan sebilah pisau.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki warga Malaysia telah ditahan di Batam, Indonesia selepas merompak seorang wanita menggunakan pistol jenis airsoft
Dilaporkan oleh Berita Harian, suspek, 41, berasal dari Melaka dipercayai mengugut mangsa berusia 48 tahun menggunakan pistol airsoft dan sebilah pisau sebelum melarikan Toyota Rush bersama barangan berharga. Jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai 292 juta rupiah (RM73,000).
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Indonesia, Komisioner Agung Tri Poerbowo mengatakan suspek dipercayai merompak selepas kehabisan wang ketika bercuti di negara berkenaan.
"Dia tiba di Indonesia pada 15 September lalu, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas gagal mendapatkan wang mencukupi untuk membiayai perjalanan pulang ke Malaysia.
"Dia pada mulanya datang ke Indonesia untuk bercuti, tetapi kehabisan wang. Suspek kemudian merancang merompak seseorang bagi mendapatkan wang untuk pulang ke tanah air dengan menyasarkan mangsa secara rawak," katanya.

Mangsa diserang setelah selesai membayar cukai kenderaan
Kejadian bermula apabila mangsa selesai membayar cukai kenderaan di kaunter Samsat, Harbour Bay sebelum mengeluarkan wang tunai di sebuah ATM.
Setelah kembali ke kenderaannya, suspek telah didakwa masuk ke tempat duduk penumpang dan memaksa mangsa memandu ke arah Bukit Senyum.
Setelah tiba di kawasan luar sebuah taman perumahan, suspek mengeluarkan pistol airsoft dan pisau sebelum mengugut mangsa untuk memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya.

Bukit Senyum, Batam, Indonesia.
Image via TikTokMangsa telah menjerit meminta pertolongan dan menyebabkan suspek panik sebelum menolaknya keluar dan melarikan diri bersama kereta serta barangan milik mangsa.
Suspek telah cuba untuk melarikan diri tetapi seorang anggota polis trafik yang terdengar jeritan mangsa bertindak mengejar kenderaan curi itu dan berjaya memintasnya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via AWANISiasatan mendapati, pistol airsoft itu telah dibeli daripada seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri dengan harga satu juta rupiah.
Pengawal keselamatan itu turut ditahan dan sedang disoal siasat mengenai dakwaan membekalkan senjata berkenaan.
Polis juga turut merampas kenderaan yang dicuri, wang tunai satu juta rupiah, satu beg, pistor airsoft dan lima kartrij karbon dioksida (CO2) dan sebilah pisau.
Suspek kini berdepan hukuman mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan mencuri dengan kekerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via