Burger Nasi Lemak ‘Viral’ McDonald's Kini Dijual Di Malaysia!
Saat yang dinanti-nantikan telah tiba! XD
Memang heboh dibuatnya apabila Burger Nasi Lemak mula-mula diperkenalkan di McDonald’s Singapura tahun lalu. Mana tidaknya, mana pernah sebelum ini kami lihat hidangan kegemaran ramai ini diolah menjadi burger!
Punyalah viral burger berperisa luar biasa ini sewaktu ianya dilancarkan, siap tercetus perang sosial media lagi.
Untuk anda yang masih memendam rasa ingin tahu terhadap burger yang telah mencetus seribu satu drama ini, ini dia berita baik untuk anda: McDonald’s baru sahaja melancarkan Burger Nasi Lemak khas untuk peminat-peminat di Malaysia!
Majlis pelancaran Burger Nasi Lemak telah berlangsung semalam di McDonald’s Kota Damansara, di mana cawangan tersebut membuka jualan hidangan ini sehari lebih awal daripada cawangan-cawangan lain seluruh negara
Bercakap di majlis pelancaran burger ini, Melati Abdul Hai, Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia berkata, "Burger Nasi Lemak McDonald’s diinspirasikan daripada rasa enak nasi lemak tempatan yang dijual oleh para pengusaha tempatan. Kami berbangga kerana dapat memberi penghormatan atas sumbangan mereka yang menghidupkan legasi nasi lemak sehingga hari ini."
Majlis pelancaran yang cukup meriah ini diserikan lagi dengan kehadiran gerai-gerai nasi lemak popular seperti Warung Rindu Pak Ya dari Pantai Dalam dan juga Nasi Lemak Mok Teh dari Wangsa Maju.
Burger Nasi Lemak sajian McDonald's merupakan gabungan patty peha ayam dimasak dengan santan dan disalut cornflakes, beserta sambal, telur goreng, bawang tumis, dan hirisan timun
Para tetamu majlis pelancaran tersebut merupakan antara yang pertama untuk mencuba Burger Nasi Lemak di Malaysia. Dengar kata, ada yang terlalu suka, ada pula yang tidak berapa gemarkannya.
Bagi kami pula, kami rasa burger ini not bad sebenarnya!
Sambalnya yang membuatkan burger ini sedap. Jika pedas sedikit mungkin lebih kick tapi kami faham resipi ini dicipta untuk dinikmati seluruh rakyat Malaysia dengan berlainan cita rasa. Patty ayamnya juga sedap, lagi-lagi dengan rasa santannya. Cuma kalau kerak cornflakes lebih garing lagi, pastinya lebih sedap!
Rasa burger ini ternyata menarik dan menjiwai perisa nasi lemak yang ingin dibawa tapi kami tertanya-tanya: Kacang dan ikan bilisnya mana? =P
Ingin cuba Burger Nasi Lemak ini sendiri? Anda boleh dapatkannya di McDonald’s seluruh Malaysia bermula hari ini!
Burger ini dijual buat masa terhad sahaja. Burger Nasi Lemak McDonald’s boleh dibeli secara ala carte pada harga RM14.95 atau sebagai set regular beserta French Fries dan 100PLUS pada harga RM16.95.
Untuk dapatkan banyak lagi artikel seperti ini, LIKE Facebook Seismik Makan serta follow kami di Instagram sekarang!