Di Usia 32, Pelakon Eiffel I'm In Love Meninggal Dunia Ketika Sedang Hamil 6 Bulan
Selamat jalan, Uni.
Pelakon popular Indonesia, Saphira Indah yang memegang watak Uni dalam filem Eiffel I’m In Love telah menghembuskan nafas terakhir dua hari lepas
Saphira, 32, dilaporkan mengalami sesak nafas selama lima hari sebelum dibawa ke hospital.
Lebih memilukan, Saphira meninggal dunia ketika sedang hamil anak kedua selama enam bulan.
Suami Saphira, Rico Hidros Daeng berkata isterinya itu amat menjaga kesihatan dan melakukan pemeriksaan di hospital hampir setiap bulan, namun mengalami sesak nafas
“Sebenarnya dia hanya sesak nafas biasa. Tetapi sejak lima hari lalu, dia sering mengeluh sesak nafas. Semalam, ketika di bilik tidur dia mengeluh sesak nafas yang terus dan minta dibawa ke hospital.
“Tiada keluhan sakit yang teruk kerana setiap bulan, dia tidak pernah mengabaikan pemeriksaan kesihatan, malah makan minumnya turut dijaga rapi.
“Ajal datang dalam pelbagai cara. Kadang-kadang orang yang sedang duduk pun boleh meninggal dunia. Jadi kita tidak mampu untuk jangka bila kita akan mati,” kata Rico.
Seteru utama filem Eiffel I’m In Love, Shandy Aulia dan Samuel Rizal merakamkan ucapan takziah dan meluahkan kesedihan menerusi Instagram
Menurut Shandy, Saphira adalah seorang wanita yang kuat dan sentiasa cintakan keluarganya. Beliau juga tidak menyangka akan bertemu temannya itu buat kali terakhir.
Manakala Samuel pula menyifatkan Saphira sebagai seorang yang mudah disayangi dan amat lucu, dan tidak akan melupakan detik mereka tertawa bersama suatu masa dulu.
Jenazah Saphira dikebumikan di Tanah Perkuburan Budi Darma, Tanjung Priok, Jakarta Utara pada pukul 10 pagi (waktu Indonesia Barat) pada Khamis, 31 Januari 2019
Setelah jenazah Saphira Indah menyentuh tanah, suaminya Rico mengazankan isteri tercintanya itu buat kali terakhir.
Namun sedang dia laungkan azan, Rico tidak dapat menahan sedih lalu menangis sehingga menitiskan air mata. Laungan azan berhenti beberapa detik.