Dihina Busuk Akibat Lumpuh, Wanita Ini Sabar Teruskan Hidup Bersama Cucu Berusia 4 Tahun
Semoga Allah permudahkan hidup makcik selepas ini. :(
Walaupun sering dihina dan dikeji oleh segelintir jiran, Khatijah Mohamad Yusuff, 63, tetap bersabar meneruskan hidup selepas lumpuh dari paras pinggang ke bawah sejak dua tahun lalu
Dalam laporan Harian Metro semalam, dia yang tinggal di Hilir Solok Sungai Pinang, Georgetown, sering dihina, dikeji dan diherdik oleh segelintir jirannya kerana rumahnya yang dikatakan berbau busuk.
Khatijah tidak mampu bangun dan hanya mampu duduk di atas katil dan melakukan pelbagai kerja dari atas katil itu termasuk melipat pakaian serta memasak.
Sekiranya dia mahu memasak dia akan menarik dapur gas menggunakan tongkat dan meminta cucunya Nur Iman Umairah, empat tahun, mengambil bahan untuk dimasak dengan menu yang ala kadar sahaja.
Nur Iman, cucunya itu disifatkan bukan sekadar peneman, malah juga tempat dia bergantung harap
“Saya lumpuh sejak dua tahun lalu dan tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya mampu duduk di katil. Di katil inilah saya mandi, tidur, memasak, kencing serta buang air dan saya buat semua itu sendiri tanpa bantuan sesiapa.
“Sejak suami meninggal dunia Oktober tahun lalu, saya sudah hilang tempat untuk bergantung hidup, malah hilang sumber kewangan dan kini tinggal berdua bersama Nur Iman," kata Khatijah.
Sebelum suaminya meninggal dunia, Khatijah memberitahu bahawa pada suaminyalah tempat dia dan Nur Iman bergantung hidup. Namun, selepas suami pergi, dia dan cucunya pernah tidak makan beberapa hari berikutan tiada wang.
Dia juga menghidap penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.
Dia yang hidup serba kekurangan itu menerima bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Wang itu digunakan untuk membayar bil elektrik dan air, manakala selebihnya untuk membeli barang dapur dengan bantuan jiran atau adiknya.
Bagaimanapun menurutnya, kadang-kadang barang dapur hanya bertahan beberapa hari saja. Selepas barang dapur habis, dia dan cucunya makan apa yang ada termasuk sisa roti kering dan biskut yang disedekahkan orang yang datang menziarahi mereka berdua.
“Saya tidak tahu kepada siapa untuk meminta wang bagi membeli keperluan harian. Kami hanya menanti jika ada jiran baik hati dan orang ramai datang melawat kami memberi sedekah,” katanya.
hmetro.com.myKatanya, dia tidak dapat mencuci katilnya disebabkan tidak dapat bangun akibat lumpuh, sebaliknya hanya mampu duduk saja di katil menyebabkan tempat tidurnya berbau busuk
“Saya hanya mampu duduk dan membuat kerja rumah di atas katil ini. Saya tidak dapat bangun, hanya tangan saja dapat bergerak untuk melakukan kerja rumah manakala kaki saya lumpuh.
“Pergerakan saya terhad menyebabkan tidak dapat mencuci dan membasuh cadar sehingga ia berbau busuk. Bagaimanapun, saya tetap bersabar dan berharap jiran terbabit memahami keadaan hidup kami,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohd Azmil, pengguna Facebook yang meng-viralkan berita Khatijah memberitahu bahawa wanita itu tidak lumpuh tetapi keadaan badannya yang obes menyebabkan dia tidak mampu berjalan.
Menurutnya lagi, Khatijah kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang
Selain itu, Penang Kini juga turut meng-viralkan berita ini di Facebook. Dalam satu post di Facebook, Penang Kini memberitahu bahawa wanita ini masih mempunyai anak.
Rata-rata netizen yang mengetahui berita ini berasa simpati dengan keadaan Khatijah bersama cucunya itu.