Doktor Gigi Di PJ Didenda RM70,000 Benarkan Staf Tidak Bertauliah Jalankan Prosedur Pergigian
Hasil pemeriksaan mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi pesakit menggunakan alat pengimbas intraoral iTero Element, iaitu peranti khusus yang digunakan dalam prosedur pergigian.
Cover image via China PressFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang doktor gigi berusia 38 tahun didenda RM70,000 selepas membenarkan kakitangan kliniknya yang tidak berdaftar dan hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalankan prosedur imbasan gigi terhadap seorang pesakit di kliniknya di Petaling Jaya
Doktor gigi berkenaan, Dr Tong Soo Huan, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Pergigian 2018 di Mahkamah Sesyen pada 16 November.
Menurut laporan Bernama, kesalahan itu berlaku di sebuah klinik pergigian di Jalan SS 21/1, Damansara Utama, Petaling Jaya, kira-kira jam 12.50 tengah hari pada 6 Mei 2024.
Pada hari kejadian, pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan pemeriksaan di klinik berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi pesakit menggunakan alat pengimbas intraoral iTero Element, iaitu peranti khusus yang digunakan dalam prosedur pergigian.

Bagaimanapun, kakitangan terbabit tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) sebagai pengamal pergigian
Dr Tong yang berdaftar dengan majlis berkenaan turut gagal mengemukakan sijil perakuan pengamalan tahunan kakitangan itu apabila diminta oleh pegawai penguat kuasa.
Ketika prosiding pendakwaan, pegawai pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Haznita Zainal Abidin memaklumkan mahkamah bahawa kakitangan wanita berkenaan hanya mempunyai kelayakan SPM.
Beliau berhujah bahawa penggunaan alat pengimbas iTero Element memerlukan kepakaran khusus dan berdasarkan keterangan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, peranti itu hanya boleh dikendalikan oleh pengamal perubatan atau pergigian yang berkelayakan.
Dr Haznita turut memaklumkan bahawa Dr Tong gagal memastikan seorang pengamal pergigian berdaftar bertugas sepanjang waktu operasi klinik.
Beliau memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang berat kerana kesalahan berkenaan melibatkan keselamatan pesakit serta integriti profesion pergigian.
Bagaimanapun, peguam bela, Rejinder Singh memohon hukuman lebih ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tidak mempunyai rekod kesalahan terdahulu di bawah akta berkenaan

Beliau turut berhujah bahawa kejadian itu merupakan pelanggaran teknikal dan bukannya perbuatan jenayah, selain menjelaskan pesakit hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan ketika Dr Tong keluar untuk makan tengah hari.
Peguam itu menambah bahawa Dr Tong kesal kerana tidak memberikan pengawasan lebih rapi terhadap kakitangannya dan berjanji akan memperkenalkan kawalan lebih ketat di klinik berkenaan.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi pertuduhan kedua.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 68 Akta Pergigian 2018 kerana menggaji individu yang tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian.
Sementara itu, pertuduhan kedua mengikut Seksyen 69(a) akta sama kerana membenarkan individu tidak berdaftar menjalankan amalan pergigian.
Kedua-dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum denda RM300,000, penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya gagal membayar denda, Dr Tong boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan tujuh bulan bagi pertuduhan kedua.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


