Dua Anggota Polis Terbunuh Dalam Kemalangan Ketika Membawa Kertas SPM
Peperiksaan SPM dijadualkan bermula pada 13 November ini.
Dua pegawai polis yang mengiringi kertas peperiksaan SPM 2018 meninggal dunia akibat kemalangan semasa dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan semalam, 23 Oktober, lapor Utusan
Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 183.4 Lebuhraya Pantai Timur arah Kuantan pada pukul 3.20 petang itu mengorbankan Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Anak Edin, 23.
Kedua-dua mereka pada ketika itu sedang mengiringi sebuah kenderaan yang mengangkut kertas peperiksaan SPM 2018 telah terlanggar besi penghadang di tepi lebuh raya menyebabkan kenderaan itu terperosok. Pemandu kenderaan itu tercampak keluar manakala seorang lagi anggota tersepit.
Kedua-duanya meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jalan raya yang licin akibat cuaca hujan dipercayai menjadi punca kemalangan yang berlaku di lengkungan jalan
Menurut anak Allahyarham Sarjan Mejar Roslan Maon, Khairul Nizam Roslan, jenazah ayahnya akan dibawa pulang ke kediaman mereka di Kuantan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali.
Mendiang Watson pula dijangka diterbangkan ke Sarawak hari ini untuk disemadikan di kampung halamannya, seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Peperiksaan SPM dijadualkan bermula pada 13 November ini.