Hilang Kaki Kanan Bukan Pematah Semangat, Dua Beradik Bangkit Berniaga Cendol Demi Keluarga

Kuat betul semangat diaorang, salute!

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya tidak mematahkan semangat dua beradik dari Kampung Seri Lebak untuk kembali berniaga cendol demi membantu meringankan beban keluarga

Menurut laporan Sinar Harian, Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, bersama kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, yang terlibat dalam nahas kemalangan dengan lori pada 7 Februari tahun lalu menyebabkan kedua-duanya kehilangan kaki kanan akibat kecederaan parah.

Walaupun kini bergelar orang kurang upaya (OKU), mereka nekad meneruskan perniagaan cendol yang sebelum ini diusahakan bersama abang, demi membantu bapa mereka, Nik Husmadi Ismail, 46, yang melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga enam beranak.

Menurut Nik Haziera, keputusan untuk kembali berniaga dibuat kerana tidak sanggup melihat bapanya terus menanggung beban keluarga seorang diri.

SAYS.com
Image via @cendolmelelehtemerloh (TikTok)

"Kami kasihan melihat abah yang bekerja kampung untuk menyara kami sekeluarga.

"Dengan keadaan ekonomi sekarang, beban abah semakin berat. Saya dan kakak sepakat bangkit semula dan berniaga seperti dahulu untuk membantu abah dan umi,"
katanya.

Nik Haziera yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan kini merupakan atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara berkata, cabaran terbesar selepas kehilangan kaki ialah menyesuaikan diri dengan pergerakan yang semakin terbatas

Menurutnya, sebelum kemalangan, dia dan kakaknya sudah biasa melakukan pelbagai urusan sendiri termasuk mengangkat barang, memasang kanopi dan menguruskan perniagaan.

"Dulu kami berdua memang berdikari, mampu mengangkat barang untuk berniaga, memasang kanopi serta menguruskan pelbagai kerja sendiri.

"Tetapi selepas menjadi OKU, banyak perkara tidak lagi mampu dilakukan sendiri dan memerlukan bantuan orang lain. Itu perkara paling sukar untuk saya terima,"
katanya.

Walaupun diuji dengan kehilangan anggota badan, kedua-dua beradik itu menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka dan memilih untuk terus bangkit meneruskan kehidupan.

SAYS.com
Image via @cendolmelelehtemerloh (TikTok)

"Alhamdulillah, sejak awal lagi saya dan kakak dapat menerima apa yang berlaku.

"Kami tidak mengalami kemurungan dan bersyukur masih diberi peluang meneruskan kehidupan,"
katanya.

Selain kehilangan kaki kanan, Nik Haziera turut mengalami kecederaan serius pada tangan kanan yang masih memberi kesan sehingga hari ini

"Tangan kanan saya hampir dipotong kerana banyak saraf dan tisu rosak. Sehingga kini, tangan saya masih kerap sakit, lemah dan ada kalanya kebas.

"Sebab itu saya memerlukan bantuan kakak ketika menyediakan cendol, terutama bagi kerja yang memerlukan tenaga.

"Cabaran paling besar ialah apabila pelanggan meminta perkhidmatan pandu lalu kerana kami tidak dapat bergerak pantas untuk memenuhi permintaan itu,"
katanya.

Namun, sokongan masyarakat menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus bertahan dalam perniagaan.

SAYS.com
Image via @cendolmelelehtemerloh (TikTok)Image via @cendolmelelehtemerloh (TikTok)

Menurut Nik Haziera, ramai pelanggan hadir memberikan sokongan selepas mengetahui kisah mereka, sekali gus membantu melancarkan perniagaan yang diusahakan.

"Alhamdulillah, cendol kami mendapat sambutan menggalakkan dan ramai datang selepas mengetahui kisah kami.

"Sepanjang tempoh pemulihan, saya sering bersiaran langsung di TikTok dan sokongan serta doa orang ramai termasuk keluarga dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuk terus bangkit.

"Sehingga kini, kami tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan,"
luahnya.

Dalam masa sama, beliau turut menitipkan pesanan kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup agar terus kuat dan tidak mudah menyerah kalah.

"Jangan mudah mengalah kerana hidup masih panjang dan anggap setiap ujian sebagai cabaran untuk diteruskan, bukan penghalang," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik