IJMAL Lakar Sejarah Perkenal Koleksi ‘Nala Nana’, Kasut Serat Pisang Pertama Di Malaysia
Koleksi eksklusif Nala Nana menampilkan rekaan yang moden serta elegan.
Cover image via IJMALFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jenama kasut tempatan terkemuka, IJMAL, melakar sejarah baharu dalam industri tekstil dan rekaan tanah air apabila secara rasmi meluncurkan koleksi terbaharu mereka yang dikenali sebagai 'Nala Nana'
Koleksi ini mencatatkan pengiktirafan tersendiri sebagai kasut pertama di Malaysia yang memanfaatkan penggunaan serat pisang sebagai antara bahan utama pembuatannya.
Langkah berani ini diambil bersempena dengan Bulan Kelestarian tahunan mereka, REIJMAL, bagi memperkasakan lagi gerakan fesyen lestari (sustainable fashion) menerusi penggunaan bahan alternatif yang mesra alam.
Pembangunan kasut berasaskan serat pisang ini merupakan hasil kejayaan program kerjasama penyelidikan yang komprehensif antara syarikat Bambusoideae Technology Sdn Bhd bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kolaborasi strategik antara institusi menara gading dan pemain industri ini membuktikan bahawa sisa sektor pertanian tempatan mampu diberi nilai komersial yang tinggi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berstruktur, sekali gus mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat pasaran global. Sebelum inovasi ini, IJMAL juga pernah mencipta kejayaan menukarkan fiber nanas sebagai material pembuatan kasut mereka.
Diasaskan oleh Burhanudin Yusof dan Faratihah Ibrahim, IJMAL yang kini genap memasuki tahun ke-11 penubuhannya sentiasa berpaksikan kepada falsafah gabungan antara inovasi moden dan keselesaan impak tinggi.
Pihak pengurusan memberi jaminan bahawa walaupun kasut ini dihasilkan daripada material alternatif tumbuhan, standard keselesaan optimum yang menjadi identiti mutlak IJMAL sejak sekian lama tetap dipertahankan. Proses rekaan telah diuji secara teliti bagi memastikan ia kekal praktikal, fleksibel, serta lembut untuk kegunaan harian seisi keluarga.

Dipasarkan dalam kuantiti yang sangat terhad sebagai edisi istimewa
Diluncurkan secara rasmi pada 25 Jun ini, koleksi eksklusif Nala Nana menampilkan rekaan yang moden serta elegan, namun hanya dipasarkan dalam kuantiti yang sangat terhad sebagai edisi istimewa.
Sebagai jenama yang memegang konsep pusat sehenti untuk semua lapisan umur, IJMAL menawarkan kepelbagaian rekaan kasut untuk golongan lelaki, wanita, serta kanak-kanak di bawah satu bumbung. Pasaran fizikal mereka kini disokong kukuh melalui pengoperasian empat cawangan utama yang terletak di Puchong, Bangi, Setia Alam dan Johor Bahru.
Melalui pengenalan koleksi Nala Nana ini, IJMAL berharap dapat terus menerajui pasaran kasut tempatan yang memperjuangkan kelestarian alam tanpa mengetepikan kehendak gaya hidup pengguna masa kini.
Pengguna yang berminat untuk melihat rekaan elegan edisi terhad ini atau membuat pembelian boleh melayari laman web rasmi syarikat di www.ijmal.my atau mengikuti perkembangan promosi terkini menerusi akaun rasmi Instagram dan TikTok mereka di @ijmalofficial.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


