seismik

GISB Holdings Kini Difatwakan Sebagai Ajaran Sesat Oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

Ia menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Cover image via Jabatan Mufti Negeri Perlis (Facebook)

Follow kami di WhatsApp Channels, TelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis hari ini memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah

Menerusi laporan Berita Harian, ia menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

"Unsur ajaran batiniah itu adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.

"Setelah jawatankuasa berbincang, diputuskan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan, adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

"Kesan dan akibat pengkultusan itu melahirkan ketaksuban melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama.

"Ini sekali gus jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Image via Jabatan Mufti Negeri Perlis (Facebook)

GISB Holdings didapati mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam

"Malah, mereka juga dilihat mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin mereka.

"Mereka juga mengaitkan pemimpin yang dikultuskan dengan unsur yang dapat menjustifikasikan tindakan mereka yang salah, dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

"Mereka juga mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka.

"Malah, mereka mewujudkan hukum-hakam syarak baharu untuk menjustifikasi aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan muamalat," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Perlis merupakan negeri pertama yang mengeluarkan fatwa bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings mempunyai unsur ajaran sesat.

Image via Jabatan Mufti Negeri Perlis (Facebook)

Satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis 2024 telah diadakan hari ini, 20 September di Kangar, Perlis.

Image via Jabatan Mufti Negeri Perlis (Facebook)

Beliau berkata, selepas meneliti pengoperasian aktiviti ekonomi GISBH, jawatankuasa menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan bukan model ekonomi Islam sebenar.

Malah, katanya, ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terbabit serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

"Oleh itu, segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH dilarang dan jawatankuasa ini mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli GISBH yang ingin keluar daripada kesesatan ini.

"Peruntukan zakat boleh digunakan untuk pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri daripada organisasi ini dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah," katanya.

Mohd Asri berkata, peruntukan zakat mengikut fisabililah, al-Riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tujuan ini.

"Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak bekas ahli GISBH untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya.

"Badan swasta boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain dan masyarakat Islam seluruhnya hendaklah ambil sikap positif dalam usaha membantu bekas ahli GISBH keluar daripada belenggu kesesatan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua pihak hendaklah bersama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat itu.

Berikut di bawah adalah kenyataan rasmi penuh daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: