Guru Lelaki Buat Persiapan 'Akhir' Untuk Buka Sekolah Maut Terjatuh Dari Tingkat Satu
Kejadian tersebut telah berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan.
Satu kejadian yang begitu menyedihkan telah berlaku pada tengah hari tadi di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan apabila seorang guru lelaki dikatakan terjatuh dari tingkat satu sekolah itu
Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku ketika guru yang mengajar subjek Matematik di sekolah itu sedang membuat persiapan terakhir sempena pembukaan kembali sekolah pada hari esok.
Arwah dikatakan telah terjatuh dari tingkat satu selepas memanjat keluar dari dalam kelas ke balkoni belakang sebelum memijak kerusi plastik dan tergelincir jatuh pada ketinggian kira-kira tiga meter.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari tadi, arwah yang berusia 54 tahun itu meninggal dunia akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata ketika itu arwah sedang melakukan pemeriksaan air bagi memastikan setiap sinki di dalam kelas berfungsi
Tambahan pula, ketika insiden tersebut berlaku, arwah berada bersama dua rakannya di balkoni berkenaan manakala terdapat guru lain di dalam kelas itu.
"Ada guru yang melihat kejadian berkenaan dan kami dimaklumkan semua guru ke sekolah untuk melakukan persediaan sempena pembukaan sekolah esok.
"Mangsa yang mempunyai lima orang anak mengajar subjek Matematik di sekolah berkenaan sejak 17 tahun lalu," kata Zainuddin.
Zainuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.