Selangor Haramkan Kegiatan Minum Arak, Hisap Rokok & Vape Di Taman
Larangan itu telah dimasukkan dalam kesalahan Undang-undang Kecil Taman 2005 dan akan dikuatkuasakan serta-merta.
Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan bahawa kegiatan minum arak serta menghisap rokok dan vape di taman telah diharamkan
Menurut laporan, exco kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata larangan itu telah dimasukkan dalam kesalahan Undang-undang Kecil Taman 2005 dan akan dikuatkuasakan serta-merta.
Sze Han juga turut menegaskan, “Dengan pindaan Undang-undang Kecil Taman 2005 ini, maka negeri Selangor di bawah pimpinan PH bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang minum arak dan rokok di taman-taman permainan dan taman-taman rekreasi.”
Keputusan ini dibuat atas faktor keselesaan dan kesihatan para pengunjung taman lebih-lebih lagi ketika penularan wabak pandemik Covid-19
Ini kerana gaya hidup sihat kini semakin menjadi amalan serta keutamaan buat setiap individu di Malaysia.
“Taman permainan dan taman rekreasi juga makin kerap dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas untuk beriadah bersukan serta aktiviti kekeluargaan,” katanya.