Hasil Keringat Muay Thai, Aliff Rakib Hadiahkan Rumah RM1 Juta Untuk Ibu Bapa Tercinta
Bagusnya muda lagi dah beli rumah untuk ibu bapa, murah rezeki!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, juara dunia interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, 22, atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib, kini melakukan sesuatu yang cukup menyentuh hati
Menurut laporan Harian Metro, Aliff menghadiahkan sebuah rumah bernilai RM1 juta kepada kedua-dua ibu bapanya sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka selama ini.
Lebih bermakna, rumah berkenaan dibeli menggunakan wang simpanannya sendiri hasil penyertaan dalam beberapa pertandingan Muay Thai.
"Saya sudah lama mengimpikan untuk menghadiahkan sebuah rumah yang besar dan selesa kepada ibu dan ayah, Suriawati Che Wook, 46, dan Rakib Ahmad, 52.
"Rumah berkenaan terletak di Rantau Panjang dan insya-Allah, Isnin depan kami akan mengadakan majlis kesyukuran sempena berpindah ke rumah baharu itu," katanya.

Kepulangan Aliff ke Kelantan turut disambut meriah apabila lebih 2,000 rakyat negeri itu hadir bagi meraikan kejayaan jaguh Muay Thai berkenaan yang berjaya mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia di pentas dunia.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad. Bukan sekadar menghadiahkan rumah, Aliff turut merancang untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan ibadah umrah.
"Kejayaan yang diraih pada hari ini bukan hanya hasil usaha sendiri, sebaliknya turut didorong doa dan sokongan ibu dan ayah yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan kariernya dalam sukan Muay Thai sehingga mendapat gelaran dunia.
"Saya amat menghargai sokongan dan penghargaan yang diberikan kerana sebelum ini mungkin tidak ramai yang mengenali saya, namun kini nama saya semakin dikenali," katanya.
Bagi Aliff, kejayaan yang diraihnya ketika ini hanyalah permulaan. Dia memasang impian untuk terus menjadi juara sebenar dan memberikan aksi terbaik dalam setiap pertandingan yang disertainya.

Malah, satu lagi cabaran besar sudah menanti apabila dia dijadualkan berdepan petarung terkenal dari Thailand, Prajanchai, Oktober ini
"Pertandingan seterusnya adalah menentang Prajanchai iaitu petarung Muay Thai terkenal dari Thailand dan antara nama besar dalam ONE Championship pada Oktober ini. Saya berjanji akan membawa pulang satu lagi tali pinggang untuk Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Aliff yang merupakan anak kedua daripada empat beradik turut berkongsi bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang berasal dari Thailand dalam masa terdekat.
Sebelum ini, kemenangan Aliff Rakib bukan sahaja membolehkannya merangkul gelaran Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, malah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi tali pinggang dunia interim ONE Championship.
Kisahnya membuktikan bahawa segala pengorbanan, kesakitan dan usaha keras di gelanggang akhirnya membuahkan hasil.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via