i-Citra: PM Umum Kemudahan Pengeluaran KWSP Sehingga RM5,000, Ikuti Syarat & Kelayakan Ini
Ahli KWSP boleh mula memohon di portal i-Citra mulai 15 Julai 2021.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi membantu rakyat dan ekonomi yang terjejas
Menerusi pengumuman perutusan khas sebentar tadi, beliau turut mengumumkan KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.
Tambahnya lagi, ianya bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat PKP.
"Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik Covid-19.
"Kita telah menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seumpama ini. Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat sehingga kini," ujarnya.
Ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan
Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan ahli KWSP.
Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.
Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.