seismik

Ibu ‘Pergi’ Sebelum Majlis Konvo Bermula, Lelaki Ini Dedikasikan Skrol Buat Ibu Tercinta

Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan bila kehilangan ibu di hari konvokesyen.

Cover image via Syirfan Indra / Facebook & Harian Metro

Hari yang sepatutnya membahagiakan bertukar menjadi satu momen yang paling tak dapat dilupakan

Itulah yang dirasakan oleh Muhammad Fahim Shamsuddin, 23 yang melupakan hasrat untuk naik ke atas pentas bagi menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) apabila ibunya meninggal dunia di saat tinggal beberapa jam sahaja sebelum majlis konvokesyen berlangsung.

Memetik laporan Harian Metro, Fahim yang merupakan pelajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sepatutnya meraikan hari bersejarah itu pada 17 November lalu sebelum ibunya, Rahayu Abu, 50, menghembuskan nafas terakhir jam 12.20 tengah malam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis. 

Image via Berita Harian

Menurut Fahim, ibu sangat teruja untuk melihat dia menerima skrol ijazah

"Majlis konvokesyen Ahad namun ibu mahu bertolak Jumaat. Saya ikutkan saja permintaannya dan bercadang membawanya dan ayah ke tempat menarik di Kuala Terengganu.

"Namun ketika menginap di rumah bapa saudara di Kampung Tok Jembal, keadaan kesihatan ibu merosot apabila demam dan sesak nafas hingga dibawa ke hospital. Ketika dalam perjalanan ke hospital, ibu tidak sedarkan diri.

"Ketika dirawat, doktor menyatakan ibu mengalami bengkak di otak dan bergantung kepada mesin pernafasan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 12.20 tengah malam,” katanya. 

Fahim bersama ibu.

Image via Harian Metro

Mujur ibu sempat lihat dia sarungkan jubah konvokesyen

"Selepas pulang daripada mengambil jubah konvokesyen, saya sempat menyarungnya kepada ayah serta menunjukkannya kepada arwah ibu dan saya melihat wajahnya gembira walaupun dia dalam keadaan lemah," kongsinya.

Jenazah dibawa pulang ke kediaman mereka di Kampung Bohor Baru, Bera dan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Baru.

Sementara itu, pihak UMT mengadakan Majlis Khas Penyampaian Skrol Ijazah kepada Fahim bertempat di universiti tersebut

"Saya fikir, mungkin saya tak akan datang lagi ke UMT untuk terima ijazah. Kawan saya datang ke hospital bagi saya pakai jubah dan ambil gambar kenangan dengan ayah saya. Saya ingat, mungkin inilah gambar terakhir saya untuk kenangan.

"Saya terpaksa senyum juga walaupun saya memakai jubah ini di hadapan hospital sementara urusan jenazah. Saya berterima kasih kepada pihak UMT yang membantu dari awal, seterusnya menyediakan majlis yang begitu bermakna buat saya.

"Pihak universiti begitu prihatin terhadap saya sekeluarga dan sudah tentu saya tidak akan melupakan majlis ini yang cukup bermakna buat saya sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian.


Pada majlis tersebut Fahim menerima skrol daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dilihat turut mengalirkan air mata menunjukkan perasaannya ketika itu.

Dalam pada itu, pihak UMT juga turut menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada bapa Fahim yang juga seorang kurang upaya

Difahamkan, bapanya kehilangan tangan dan kaki kerana kemalangan kejutan elektrik kira-kira 23 tahun lalu. 

Selain itu, menerusi perkongsian seorang staf di UMT, Syirfan Indra di laman Facebook miliknya  mengatakan bahawa bapa Fahim juga akan pulang ke kampung halamanya yang terletak di Juaseh, Negeri Sembilan.

Fahim bersama bapa.

Image via Syirfan Indra / Facebook

"Ketemu seorang Fahim dan keluarganya, belajarlah abam tentang survival hidup dan sebuah ketentuan.

"Ayah Fahim akan kembali ke kampung halamannya, Juaseh Negeri Sembilan. Rumah di Bera, Pahang akan ditinggalkan sementara. Mungkin itu terbaik untuk keluarga ini. Si ayah semalam tidak mampu berkata apa-apa. Terlalu sedih dek kehilangan sebahagian hatinya.

"Kami di UMT gembira dapat melaksanakan konvokesyen khas tersebut. Ia merupakan kali pertama ia dilaksanakan sebegitu. Moga ia memberikan sedikit senyum buat keluarga ini," tulisnya. 

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Semua ibu bapa mesti nak tengok anak terima skrol atas pentas tapi apakan daya:

You may be interested in: