seismik

Taksub Nak Jadi Kebal, Lelaki Buat Perjanjian Dengan Jin Siam Yang Akhirnya Memakan Diri

Uniknya sami yang memahatkan tatu di badan pesakit itu buta.

Cover image via Twitter @jebat_165

Ilmu persilatan merupakan warisan bangsa Melayu yang turun-temurun. Ianya sejenis seni mempertahankan diri yang diakui sebagai seni warisan yang ulung serta kaya dengan adat dan budaya.

Namun begitu, ada sesetengah orang yang inginkan kekebalan sehingga menggunakan ilmu ghaib dan mistik yang bukan hanya bicara tentang kekuatan sahaja bahkan juga bicara tentang batin. Bukan itu sahaja bahkan ada yang inginkan kekebalan sehingga sanggup mendapatkannya di negera seberang iaitu Thailand.

Satu kisah telah dikongsikan oleh pengguna Twitter @jebat_165 tentang salah seorang pesakitnya yang ingin mendapatkan rawatan akibat diganggu jin ekoran ilmu hitam yang diterapnya di Siam.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Cerita ini 6 tahun lepas sewaktu aku berkhidmat di sebuah pusat rawatan Islam yang tak berapa nak terkenal di Malaysia, aku ingat lagi pukul 10 malam macam waktu sekarang ini aku didatangi pesakit iaitu Along.

Aku pun layan la Along seperti mana pesakit-pesakit aku yang lain, interview la sikit, tanya nama dan apa masalah dia sebab aku tengok Along ini okay je macam tak ada masalah. Along pun buka cerita.

Along ini waktu umur belasan tahun gilakan ilmu-ilmu persilatan ini. Segala ilmu kebatinan orang kata dia pergi menuntut sehinggalah berlaku satu kes membuatkan dia lari ke Siam.

Di Siam dia pun konon-konon nak berubah tetapi disebabkan minat dia terhadap ilmu persilatan, dia terjebak dengan belajar ilmu muay thai disana. Pada mulanya dia hanya belajar fizikal sahaja sampai satu tahap guru yang mengajar dia muay thai tanya nak tak dia tingkatkan tenaga dalaman dia.

Dia pun masih jahil ketika itu ikut sahaja apa yang guru dia cakap. Tapi di dalam hati dah rasa pelik sebab guru dia bawa ke tokong jumpa dengan Tok Cha iaitu sami Thailand.

Guru dia cakap dengan Tok Cha itu yang Along nak menuntut ilmu kebal, pengasih, dan penunduk. Bila Tok Cha itu tengok Along, Along angguk saja walhal satu patah apa pun Along tak tahu waktu itu.

Dipendekkan cerita Along dimandikan oleh Tok Cha itu dan disuruh Along duduk disatu tempat depan patung Buddha dan suruh duduk diam tunggu orang lain yang akan sempurnakan ritual untuk Along.

Tiba-tiba datang seorang Tok Cha yang lain bawa pahat dan penukul. Guru Along suruh Along bertahan sahaja. Rupa-rupanya pahat dan penukul itu digunakan untuk melakar tatu dibadan Along. Uniknya Tok Cha yang pahatkan tatu di badan Along itu buta.

Along redha sahaja dan Along ketika itu langsung tidak merasa sakit walaupun badan dia iaitu bahagian belakang dan dada dipenuhi darah kerana tatu dicecah di badan dia. Siap sahaja tatu dipasang di badan Along, Along terpaksa menjalani ritual terakhir sebelum dirinya kebal.

Ritual terakhir Along diberikan 3 colok dan berhadapan dengan 3 orang Tok Cha. Setiap Tok Cha memakai topeng yang berbeza.  

Image via Amazon

Selesai jampi serapah, Along dipakaikan topeng yang Tok Cha tadi pakai. Rupanya tiga topeng tu membawa semangat iaitu jin khadam yang berbeza. Adanya rupa perempuan, kanak-kanak dan yang terakhir barulah hanuman iaitu dewa perang yang menyerupai monyet putih.

Bila mana Along sarung muka dia dengan topeng yang terakhir, Along menjadi tak sedar dan orang cerita pada dia yang dia menari menyerupai hanuman (monyet) yang menanti habuannya untuk dikorbankan.

Dipendekkan lagi cerita Along, 3 bulan selepas Along diturunkan ilmu hanuman, Along merasa megah dengan kekuatan kebatinan yang dia ada dan dia rasa sudah sampai waktu untuk dia pulang ke Ampang.

Setelah beberapa tahun duduk di Ampang, Along cuba untuk berumahtangga tetapi semuanya gagal. Bilamana dia bekerja semua majikan tidak ngam dengan dia, berhentikan dia kerja, rupa-rupanya ada juga kes yang takut dengan Along.

Ramai kata mereka selalu nampak kelibat Along duduk bertapa di bengkel. Ada yang kata nampak Along menangis merayu agar dilepaskan walhal Along tak buat pun benda itu semua.

Sampai lah satu ketika Along ditegur oleh seorang pak cik tua yang agak rapat juga dengan Along, "Along, pak cik tengok kamu ini budak baik tapi kenapa kamu amalkan ilmu-ilmu Siam ini Along?"

Tersentak Along waktu sedangkan Along ini tak pernah cerita perihal di Siam. Along pula bukannya orang yang kaki pakai singlet. Setiap masa dia pastikan kulit badan dia orang tak nampak sebab dia nak sorok tatu dia.

Bermula dari situ Along mula bermimpi perempuan muka hodoh menangis-nangis didepan Along. Boleh dukatakan setiap malam dan bila dia terjaga, dia nampak kelibat kanak-kanak yang hampir keseluruhan badan terbakar menangis duduk di kaki Along.

Kehidupan Along mula terganggu. Mula-mula hanya gangguan waktu malam iaitu waktu tidur tapi tak lama lepas itu gangguan dah mula waktu siang waktu Along dalam keadaan sedar.

Pernah Along order makan di kedai, elok je muka akak yang ambil order itu berubah jadi perempuan hodoh dalam mimpi Along. Ibarat kata Along pejam mata atau buka mata kelibat jin perempuan dengan kanak-kanak itu sentiasa ada dengan Along.

Semua orang yang nak berurusan dengan Along semua lari bukan sebab nampak hantu tapi bilamana mereka dekat dengan Along, mereka tidak tahan bau bangkai yang meloyakan tekak.

Along mula pergi mencari ustaz-ustaz untuk membuang. Along rasa ini semua punca dari ilmu hitam yang dia belajar. Waktu dia berubat ramai ustaz-ustaz yang mengalah sebab bila dirawat benda itu tak datang dan tak boleh nak putuskan hubungan Along dengan jin itu.

Alasannya Along dah buat perjanjian berdarah sehidup semati dengan jin-jin yang Along ambil sampai lah satu ketika Along dijumpakan dengan seorang kiai di masjid di Ampang. Along mengadu masalah dia dekat pak kiai.

Pak kiai setuju nak membantu Along tapi dia cakap dia bukan perawat dia hanya hamba Allah SWT yang cuba membantu Along. Sampai saja dekat rumah Along, pak kiai bagi saja salam terus yang menyambut salam tu 3 suara yang berbeza keluar dari mulut Along.

Bermula lah dialog antara jin dalam badan Along dengan pak kiai.

"Kau tak akan mampu pisahkan aku dengan budak ini, budak ini dah berjanji sehidup semati dengan aku," kata jin 3 sekawan.

"Tiada kuasa yang lebih hebat dari kekuasaan Allah, kau hanya jin iblis lakhnatullah," balas pak kiai.

Mulalah pergelutan di antara ruqyah dan jampi serapah Siam. Macam-macam bunyi yang keluar sampaikan bunyi pinggan mangkuk pecah dekat dapur macam orang campak-campak, bunyi cakar dekat atap rumah Along dan macam-macam bunyi yang ada. 

Sampai lah tahap pak kiai azan 4 penjuru barulah berhenti gangguan.Selesai sahaja kiai azan 4 penjuru disusuli dengan pemagaran 4 penjuru, kiai pergi ke dapur dan yang anehnya tiada satu pun gelas mahupun pinggan atau mangkuk yang pecah bahkan semuanya elok dekat rak.

Kiai ambil segelas air dan letak garam lepas syifa diberikan minum pada Along.

Tapi gangguan pada along tidak berkurangan malah makin teruk dia diganggu dan yang paling ngeri dia tak boleh tahan nafsu untuk makan tulang-tulang saki baki lauk macam tulang ayam ke apa, dia akan ratah tulang itu tanpa dia sedar.

Along tak putus harapan, dia pergi ikhtiar ke beberapa tempat sebelum dia sampai ke tempat aku dan setiap cerita diatas diceritakan sendiri pada aku. Okay sekarang bermula kisah dia berubat dengan aku.

Macam biasa sebelum aku mulakan ruqyah aku akan buat air syifa terlebih dahulu untuk detect benda-benda kotor dalam badan pesakit. Mula saja aku baca ayat syifa pada air riak muka Along dah berubah seperti marah pada aku dan mulut Along terkumat-kamit baca sesuatu.

Aku pun buat-buat lah tak tahu. Buat saja kerja aku. Habis saja ayat syifa aku tepuk bahu Along, "Haa bang, datang sini kena kuatkan semangat bang. Abang nak sihat kan? Kuatkan semangat yakin pada kekuasaan Allah.

"Reaksi Along macam okay. Dah mula nampak waras. Tak ada terjegil-jegil mata lagi. Aku minta dia selawat dia boleh selawat so aku suruh dia pasang niat untuk membuang semua ilmu dan kekotoran dalam badan dia. Lepas saja niat aku suruh minum air syifa yang aku buat.

Tak sampai setengah gelas dia minum dia muntah balik. Terbeliak biji mata.

"Panasssss!! Kau semua nak bunuh aku ke apa? panasss la bodohh!" sambil dia koyakkan baju yang dia pakai. Badan along merah habis macam udang kena panggang merah dia.

Dengan suara garau dia, tiba-tiba Along gelak, "Hehehe kau ingat kau dapat pisahkan aku dengan dia? Jangan harap dalam badan dia dah aku siap beranak pinak dalam ni! Kau buang aku. Esok lusa aku masuk balik!"

Aku pun apa lagi, dah alang-alang baju Along pun dah koyak aku buat tak tahu sahaja apa yang jin tu merepek. Aku mulakan ruqyah dan aku tujukan dekat setiap tempat dekat badan along yang ada tatu.

Setiap kali aku ubahkan telapak tangan aku ke arah tatu Along yang lain, Along akan berubah karakter menjadi orang yang lain. Sekejap jadi macam budak kecik yang menangis nak kan mainan, sekejap jadi perempuan yang cuba menggoda.

Tapi setiap kali dia berubah menjadi hanuman, setiap kali itu juga orang-orang dekat sekeliling yang cuba memegang dia akan dipukul. Aku pun apa lagi, pasakkan setiap sendi Along di 7 lapisan tanah. Alhamdulilah Along dah tidak merontan dan tak menyerang orang lain.

Lebih kurang 30 minit sesi ruqyah, last-last aku terdetik hati, apa sebenarnya punca yang jin ini susah sangat nak lepaskan Along. Aku sedarkan Along, aku terus tanya, "Sewaktu abang menuntut ilmu dulu, ada tak Tok Cha itu bagi apa-apa barang dekat abang?"

Hmm rupanya memang ada Along ini ambil barang itu dan syaratnya Along kena perasap barang itu setiap Khamis malam Jumaat. Aku suruh Along balik dan bawa balik barang itu jumpa aku.

Keesokkan harinya Along datang jumpa aku bawa 3 barang yang dia dapat. Aku buka saja bungkusan itu, satu klinik aku bau bangkai.

Ada macam janin dalam balang, gumpalan rambut dan yang paling real sekali ada tokong kecik dalam bungkusan tu.

Aku direct tanya, "Bang, kau ini memang tak pernah buka ke bungkusan ni? Main ambil macam tu je ke?"

Dia jawab pantang larang dia memang dia tak boleh buka dan kalau dia mati pun jangan dibuka.

So time itu juga aku mulakan sesi neutralkan balik barang tu dan time itu juga lah 3 suara muncul serentak merayu jangan pisahkan mereka dengan Along.

Sambil-sambil aku baca beberapa ayat dalam surah al-Jinn, aku tanya jin-jin itu kenapa nak sangat duduk dalam badan manusia. Tak rasa bosan ke? Mereka kata badan manusia ibarat istana bagi golongan bangsa jin. Apa yang manusia makan mereka dapat rasa benda yang sama.

Mereka lebih selesa menetap dalam badan manusia dari menetap ditempat-tempat kotor dan makan tulang-belulang semata-mata. Aku pun terkeluar lah soalan tak takut pada hukuman Allah.

Mereka boleh jawab tiada siapa yang menceritakan tentang Allah.Aku pun macam terlebih rajin pula time itu tanya dia, nak tak aku tunjukkan apa itu Islam. Bukakan hijab tunjukkan keberadaan Islam. Alhamdulilah bangsa jin dalam badan Along menerima Islam.

Dan mereka aku pandukan keluar dan aku mohon agar mereka pergi mencari bangsa mereka yang beragama Islam untuk belajar tentang Islam. Tapi lepas saja keluar muncul pula seekor jin yang bengis marah dekat aku.

Aku bacakan satu ayat yang Al-Quran yang mahsyur yang selalu digunakan perawat untuk menundukkan para jin dan digabungkan pula dengan kaf 40. Alhamdulilah tak sampai dua minit keluar jin yang mengaku jin ifrit tu.

Ingat ya semua. Bangsa jin boleh mengaku siapa pun dia. Jin ifrit lah apa lah tapi dia tidak akan mampu menipu ayat Al-Quran.

Jadi berbalik pada pesakit, aku pulihkan semangat Along. Lepas tu aku sedarkan dia.

Selesai rawatan seperti biasa sesi tarbiah bermula dan aku masih ingat pesan aku pada Along, "Bang, tatu itu kalau dibuang menyeksakan. Bertaubat lah sebenar-sebenar taubat dan jangan ulangi kesilapan lama. Dan abang kena ingat badan abang dah ada ruang untuk kaum jin masuk"

"Cara-cara nak tutup lubang-lubang itu, perbanyakkan amal ibadah, rapatkan hubungan abang dengan Allah. Perbaiki solat. InshaAllah dengan izin Allah hilang gangguan itu bang."

Lepas sesi rawatan ke dua itu, Along datang buat 3-5 kali lagi untuk rawatan susulan dan dia sendiri ambil amalan untuk rawatan diri dia sendiri.

Alhamdulilah sekarang Along banyak berkhidmat di madrasah atau di Seri Petaling, Alhamdulilah dengar dia dah berkahwin.

Satu saja nak cakap, nak hebat nak jadi handal kita semua akan mati dan akan dipertanggungjawabkan apa yang kita lakukan dihadapan Allah kelak. Jadi berfikir lah dengan otak bonak yang Allah kurniakan. Jangan menyesal di kemudian hari nanti. Dalam kubur baru nak menyesal tak guna.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi kisah seram di SAYS Seismik:

You may be interested in: