"Jadilah Rakyat Malaysia Bertanggungjawab" - Azizan Osman Seru Orang Ramai Keluar Mengundi
Setiap satu undi anda bererti, jika kita pilih pemimpin yang baik.
Rakyat Malaysia yang layak bertanggungjawab turun mengundi untuk memilih pemimpin yang akan memacu negara ini
Menurut mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman, pengundi yang layak wajib apatah lagi sebagai umat Islam menjalankan tanggungjawab untuk memilih calon yang dapat mewakili mereka.
Katanya, namun pengundi dinasihatkan agar bukan sekadar mengundi untuk pangkah semua yang hanya merosakkannya.
"Setiap satu undi anda bererti, jika kita pilih pemimpin yang baik ia akan jadi dokongan untuk mewakili sesuatu parlimen dengan orang yang baik.
"Saya bercakap tentang manusia, di mana setiap pengundi memilih orang yang akan menjadi wakil mereka nanti," katanya dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook Azizan Osman Official semalam.
Beliau difahamkan berucap ketika sambutan ringkas hari kelahirannya yang dihadiri anak didiknya dan usahawan yang berhampiran di pejabat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks).
Dr Azizan menambah, setiap orang juga sebenarnya merupakan pemimpin sejak dalam kandungan ibu lagi malah sedang memimpin diri ini.
"Sepertimana hadis Nabi Muhammad SAW, setiap pemimpin bertanggungjawab kepada sesiapa yang mereka pimpin.
"Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih maka kita semua juga sebagai pemimpin bertanggungjawab kepada siapa yang diundi," jelasnya.
Para pengundi diminta agar untuk tidak persiakan undi masing-masing
"Jika kita rosakkan undi, anda sama seperti pemimpin yang tak bertanggungjawab.
"Jadi pilihlah mereka yang akan berikan kebaikan kepada Islam sebab saya orang Islam dan mereka yang akan menyokong dan mendokong kebaikan agar negara ini dapat hidup dengan aman sejahtera," ujarnya.
Terdahulu, Dr Azizan juga menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas segala-gala yang diterima hingga hari ini termasuk memberikan beliau masa 'bonus' agar dapat terus memberi manfaat dan membantu orang ramai khususnya usahawan meningkatkan tahap ekonomi dan kewangan mereka.
Beliau akan terus melakukan apa yang dilakukan untuk menjadi seorang manusia bermanfaat kepada ramai orang di luar sana.
Pada awal tahun lalu, Dr Azizan dijangkiti Covid-19 bersama 31 ahli keluarganya hingga ibu mertuanya meninggal dunia malah beliau sendiri hampir saja maut selepas berada pada tahap kritikal hingga doktor menyatakan sudah tiada harapan.
Follow SAYS Seismik dan dapatkan berita serta liputan politik tanah air terkini di sini sekarang!