"Kami Belum Bercerai Tapi..." - Sharnaaz Ahmad Jawab Persoalan Status Kahwin Dengan Nabila
Moga yang terbaik buat pasangan ini.
Kemelut rumah tangga di antara pelakon, Sharnaaz Ahmad dengan pasangannya Noor Nabila masih lagi menjadi tanda tanya
Noor Nabila yang juga merupakan kakak kepada selebriti popular tanah air, Neelofa sebelum ini telah memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz pada 11 September tahun di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Namun, Sharnaaz dilaporkan telah menolak permohonan cerai yang difailkan isterinya itu dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.
Tidak terhenti di situ, Sharnaaz pula bertindak memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya itu pada 30 September tahun lalu.
Meskipun berlaku konflik dalam perkahwinan mereka, pasangan tersebut dilihat tidak bermusuh dan masih menjalinkan hubungan yang baik demi anak mereka, Jebat Jayden.
Terbaru, Sharnaaz mula buka mulut dan menjawab persoalan mengenai status perkahwinan di antara beliau dengan isterinya yang mungkin menjadi persoalan khususnya dalam kalangan peminat
Menurut laporan, Sharnaaz berkata beliau dan isteri masih belum bercerai dan sedang menunggu keputusan mahkamah yang bakal diputuskan tidak lama lagi. Kata pelakon ini, sejak kes mereka difailkan di mahkamah, dirinya telah reda dan bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Namun katanya, hubungan yang terjalin dengan isteri pada ketika ini boleh dianggap sebagai kawan yang membesarkan anak mereka, Jebat.
"Kami belum bercerai tapi keputusan mahkamah bakal keluar tidak lama lagi. Apa yang saya nak beritahu sekarang ini hubungan kami sebagai kawan yang akan bersama-sama membesarkan anak.
"Berkaitan keputusan rumah tangga, saya serahkan kepada mahkamah. Sejak kes ini difailkan di mahkamah, saya reda dan bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku," katanya.
Bagi Sharnaaz, apa yang beliau perjuangkan selama ini adalah demi satu-satunya anak mereka iaitu Jebat
Bersyukur kerana Nabila mengizinkan dirinya berjumpa dengan Jebat tanpa sebarang halangan, Sharnaaz berkata persetujuan tersebut merupakan satu rahmat yang terbesar buat drinya.
Malah katanya, keutamaannya pada ketika ini bukanlah lagi pada perkahwinan namun untuk membesarkan anak lelakinya itu yang bakal menginjak ke usia dua tahun beberapa bulan sahaja lagi.
"Apa yang saya perjuangkan selama ini, semuanya untuk Jebat. Saya sudah dapat apa yang saya mahukan. Hubungan perkahwinan sudah jatuh nombor dua, apa yang penting Nabila mengiktiraf saya sebagai bapa kepada Jebat.
"Saya perlu menghormati Nabila, jika tidak kerana dia, belum tentu saya dapat Jebat. Nabila seorang ibu yang bagus. Apa yang saya nampak, Jebat dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Itu tidak boleh saya nafikan," katanya.