Kampung Warna-Warni Di Perlis Ini Jadi ‘Port’ Baharu Pilihan Para Pelancong
Transformasi itu bukan sekadar mencantikkan kampung, malah mengubah sikap penduduk terhadap kebersihan dan penjagaan kawasan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kalau dulu majoriti penduduk Kampung Seberang Ramai di Perlis mencari rezeki daripada hasil laut, kini suasananya jauh berbeza

Sejak kawasan itu ditransformasikan menjadi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai pada tahun 2020, pelancongan komuniti menjadi pemangkin ekonomi baharu buat penduduk.
Menurut laporan BERNAMA, Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Kampung Tengah Seberang Ramai, Nor Erwan Abd Rashid, sekitar 40 hingga 50 peratus penduduk sebelum ini bergantung kepada hasil laut. Namun hari ini, kehadiran pelancong membuka lebih banyak peluang pendapatan.
Antara yang mendapat manfaat ialah peniaga makanan tradisional, penjual makanan ringan, pengusaha laman hiasan dan juga perkhidmatan motosikal choley yang membawa pelancong mengelilingi kampung.
Peniaga kecil turut raih tempias pelancongan

Kehadiran pelawat bukan saja menghidupkan suasana kampung, malah membantu meningkatkan jualan makanan tradisional Perlis seperti laksa Perlis, kuih spera, pulut udang, putu beras, bepang, dodol dan halwa maskat.
Seorang pemandu choley, Muhammad Andhar Hakim Abdul Rahman, berkata dia kini membantu nelayan pada waktu pagi sebelum membawa pelancong bersiar-siar pada sebelah petang bagi menambah pendapatan.
Sementara itu, peniaga berusia 76 tahun, Saodah Yunus, mengakui jualan buah-buahan, kerepek dan ikan masinnya turut meningkat hasil kedatangan pelancong.
Penduduk sama-sama jaga kampung kekal cantik

Transformasi itu bukan sekadar mencantikkan kampung, malah mengubah sikap penduduk terhadap kebersihan dan penjagaan kawasan.
Setiap lorong diserahkan kepada penduduk untuk dihias dan diselenggara, malah ada yang menyediakan tabung khas bagi menampung kos penjagaan landskap.
Hasilnya, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai yang merangkumi tujuh kampung dengan kira-kira 3,000 penduduk kini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah membuktikan pelancongan komuniti mampu mengubah ekonomi setempat tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via