Kanak-Kanak 7 Tahun Maut Tercekik Cekodok Pisang
Siapa sangka dalam masa setengah jam sahaja kanak-kanak ini menemui ajal ketika di pusat penjagaan.
Seorang kanak-kanak berumur 7 tahun, Kee Shao Ming didapati maut tercekik cekodok pisang di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Taman Austin Perdana di Johor Bahru pada Jumaat, 6 Mac
Seorang wanita semalam mendakwa sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Austin Perdana gagal menjalankan prosedur kecemasan yang sewajarnya hingga menyebabkan anak lelakinya meninggal dunia akibat tercekik makanan ketika dalam jagaan pusat itu.
bernama.comIbu mangsa, Ong Kai Yun, 32 meninggalkan anak lelaki dan seorang lagi anak perempuannya di pusat jagaan itu sebelum ke tempat kerja pada 7.30 pagi. Setengah jam kemudian, dia menerima panggilan yang mencemaskan.
"Kira-kira jam 7.30 pagi, saya menghantar Shao Ming dan kakaknya berusia lapan tahun ke pusat jagaan di Austin Perdana bersama bekalan makanan cucur pisang kerana mereka bersekolah pada sesi petang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 5 di Taman Mount Austin."
"Kira-kira jam 8 pagi ketika saya dalam perjalanan ke tempat kerja selepas menghantar mereka, petugas di pusat jagaan menghubungi saya dan memberitahu Shao Ming muntah-muntah sebelum pengsan," kata Ong Kai Yun.
Beliau yang panik selepas itu menggesa pusat jagaan tersebut untuk menghantar anak lelakinya ke Hospital Sultan Ismail (HSI). Malangnya, keadaan kelihatan semakin buruk.
"Saya tiba di HSI setengah jam kemudian sebelum mendapati anak saya berada di dalam wad kecemasan. Doktor memberitahu peluang anak saya untuk hidup amat tipis dengan bibir dan semua kukunya sudah berubah kepada warna hitam."
"Selepas 12 jam dirawat, doktor mengesahkan Shao Ming sudah tiada dan mereka turut menemui ketulan cucur pisang tersekat di rongga pernafasannya," katanya.
Ong Kai Yun berkata beliau amat kecewa dengan sikap petugas pusat jagaan itu yang tidak memaklumkan kepada pihak hospital mengenai keadaan anaknya ketika makan sebelum kejadian itu berlaku
Ong dan suaminya, Kee Yong Wen, 43, juga hanya mengetahui anak mereka tercekik cekodok pisang setelah dimaklumkan pihak hospital.
“Petugas itu sepatutnya terus memberitahu pihak hospital bahawa anak kami sedang makan semasa kejadian berlaku, dan tidak cuai tentang perkara ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ong membuat satu laporan polis di Balai Polis Setia Indah dan berharap mendapat penjelasan daripada pihak pusat jagaan mengenai prosedur keselamatan mereka
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
malaysiakini.com