seismik

Karnival Kerjaya OKU Anjuran PERKESO Tawar Hampir 2,000 Peluang Pekerjaan

Sebanyak 16 majikan mengambil bahagian dalam karnival khas kepada golongan istimewa ini.

Cover image via Pertubuhan Keselamatan Sosial (Facebook)

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Bersempena Hari OKU Sedunia yang bertemakan ‘Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik Covid-19’, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Pejabat PERKESO Kuala Lumpur buat julung kalinya menganjurkan Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) baru-baru ini

Karnival yang berlangsung selama sehari ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti kaunseling kerjaya, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs dan sesi temu duga terbuka. Sebanyak 16 majikan mengambil bahagian dalam karnival khas kepada golongan istimewa ini dengan hampir 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan. 

Antara majikan yang terlibat adalah Padini Holding Bhd, HDTEC Energy Sdn Bhd, FMJ Synergy Sdn Bhd, Lulu Group Retail Sdn Bhd, Teleperformance Malaysia Sdn Bhd dan pelbagai lagi.

Penganjuran karnival ini adalah bagi memastikan golongan OKU di negara ini mendapat peluang yang sama rata untuk menyumbang kepada ekonomi negara. Ia sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menerapkan tiga (3) objektif utama iaitu menstruktur ekonomi, menangani ketidaksamaan dan membina negara.

Tiada golo­ngan yang terabai mahupun tercicir termasuk golongan OKU yang perlu diberikan peluang pekerjaan yang sama rata

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Karnival Kerjaya itu diadakan bersempena sambutan Hari OKU Sedunia dan juga merupakan usa­ha Perkeso membantu mempersiapkan mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan.

“Terdapat hampir 2,000 kekosongan jawatan menanti de­ngan lebih daripada 16 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka.

“Ini membuktikan tiada golo­ngan yang terabai mahupun tercicir termasuk golongan OKU yang perlu diberikan peluang pekerjaan yang sama rata, seperti pencari kerja yang lain,” katanya.

Karnival kali ini juga mensasarkan seramai 500 penyertaan daripada golongan OKU pembelajaran, pendengaran dan pertuturan, fizikal serta kelainan upaya pelbagai. Ia turut disokong dengan penglibatan daripada agensi-agensi berkaitan seperti Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Orang-Orang Cacat Anggota Malaysia, Persatuan Dyslexia Malaysia HQ dan Kelab Golongan Orang Kurang Upaya.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), bilangan OKU berdaftar di kawasan Lembah Klang adalah seramai 137,186 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 9,164 orang telah mendaftar dengan Portal MYFutureJobs sejak dari tahun 2020 sehingga kini. Seramai 1,000 orang daripada jumlah itu pula telah berjaya menempatkan diri di alam pekerjaan melalui portal MYFutureJobs serta karnival anjuran PERKESO.

Majikan yang menggajikan OKU boleh memohon insentif PenjanaKerjaya 3.0 yang akan berakhir pada 31 Disember ini

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagi mana-mana majikan yang menggajikan OKU boleh memohon insentif PenjanaKerjaya 3.0 yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Insentif sebanyak 40 peratus gaji yang ditawarkan untuk majikan yang menggajikan OKU ini adalah sebagai salah satu bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk majikan.

“Mereka layak untuk me­nerima bayaran insentif sehingga RM36,000 bagi tempoh maksimum enam bulan. Bukan itu sahaja, majikan juga boleh menghantar pekerja OKU menjalani program latihan dengan yuran RM4,000 hingga RM7,000 yang ditanggung di bawah Program Penjana Kerjaya 3.0,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO https://www.perkeso.gov.my, Portal MYFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my atau hubungi Careline PERKESO 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected]

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik: