seismik

Kenali Dr Samhan, Salah Seorang Calon Untuk TikTok Award Best Of Education 2023

Menyingkap kerjayanya kini sebagai doktor dan pempengaruh, Dr Samhan menjelaskan ia bukan tugas mudah.

Cover image via Ahmad Samhan (Facebook)

Follow kami di TelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bangkit dan dikenali di era pasca Covid-19, pemilik 7 buah klinik dan pempengaruh terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, mengakui bukan perjalanan mudah untuk berada di tahap sekarang

Pelbagai ujian harus ditempuhi sehingga pernah berdepan dengan detik cemas nyawanya seperti telur di hujung tanduk saat diuji dengan penyakit Ameloblastoma atau ketumbuhan rahang pipi sekitar tujuh tahun lalu.

Pengasas Forhimclinic.com itu menegaskan bukan kecil ujian dan dugaan yang ditempuhi.

“Kerana sakit dan memerlukan pembedahan Ameloblastama ini juga saya tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen bagi ijazah perubatan saya di University Tanta di Mesir.

“Saya terpaksa pulang ke Malaysia untuk melakukan pembedahan yang memerlukan tulang rahang saya dibuang. Seterusnya diambil tulang betis bagi menggantikan tulang rahang.

“Pembedahan mengambil masa 12 jam dengan kos keseluruhan RM20,000. Ketika diuji itu saya sendiri pasrah kerana selama ini tidak mempunyai masalah kesihatan. Tuhan menguji tak pernah terhenti,” kata penerima TikTok Malaysia Popular Creator Award 2021 itu.

Dr Samhan sukar berjalan selepas pembedahan Ameloblastoma.

Image via Ahmad Samhan (Facebook)

Melalui 10 tahun perjuangan dan kehidupan tanpa kenal erti putus asa

Menurut Dr Samhan lagi, fasa memeritkan lagi ialah selepas pembedahan.

“Saya tak boleh bercakap langsung sebab leher saya ditebuk di bawah kotak suara. Tak boleh makan kerana gigi diikat dan hanya minum susu melalui hidung selain membuang najis menerusi tiub. Bahkan saya tak boleh berjalan selepas tulang betis diambil.

“Bahkan saya kali pertama meminum susu melalui hidung. Tak selesa tapi kena reda. Selang beberapa minit kemudian, perut mula tak selesa.

“Ada suatu ketika saya sesak nafas sekitar jam 3 pagi. Siksanya hanya Tuhan saja tahu. Saya yang tak boleh bersuara hanya mampu menggoncangkan katil sebagai isyarat. Akhirnya goncangan katil itu disedari seorang jururawat. Dia seterusnya menyedut kahak dan saya kembali boleh bernafas,” katanya.

Kata Dr Samhan lagi ketika bergelut dengan detik cemas itu nafasnya terhenti.

“Mata saya terbeliak. Saya terus mengucap dalam hati. Mungkin ini pengakhiran buat saya.

“Saya berdoa dalam hati kepada Allah, jika ini pengakhiran bagiku akhiri aku dengan sebaik-baik pengakhiran. Jika tidak, panjangkan umur aku untuk aku beri manfaat pada orang lain.

“Alhamdulillah dengan izin Allah, saya dipanjangkan umur,” katanya.

Ketika menghadiri majlis konvokesyen isteri tercinta pada 2017, malah Dr Samran sempat menggayakan jubah yang sama dipakai Dr Shida.

Image via Ahmad Samhan (Facebook)

Malah, laluannya untuk bergelar doktor juga bukan mudah kerana harus melalui 10 tahun perjuangan dan kehidupan tanpa kenal erti putus asa.

“Dengan keputusan matrik 4 flat, saya terus ditawarkan dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan. Bagaimana ketika pengajian memasuki tahun ketiga dan keempat, saya gagal dua kali.

“Bererti kegagalan itu akan membuatkan saya ‘dibuang’ dari universiti dan tak boleh meneruskan bidang perubatan. Ibu bagaimanapun meminta saya membuat surat rayuan. Bagaimanapun rayuan itu ditolak bulat-bulat oleh dekan. Surat itu tidak dibaca, malah terus dibuang ke tong sampah.

“Ibu saya berlinang air mata. Namun saat itu, saya berjanji kepada diri untuk tidak lagi membiarkan air mata ibu menyentuhi bumi lagi disebabkan kegagalan saya,” katanya.

Dipendekkan cerita, saya berpeluang melanjutkan pengajian perubatan di Mesir pada 2010.

“Saya bagaimanapun terpaksa bermula dari tahun pertama kembali. Alhamdulillah, sepanjang tempoh pengajian, saya tak pernah mengulang tahun dan menamatkannya dengan keputusan baik.

“Malah setiap kali rasa lemah semangat untuk belajar, terbayang muka ibu. Jadi saya terus kembali bersemangat. Tiap kali rasa nak berhenti kerja masa ‘housemen’, teringat janji pada diri, terus rasa semangat. Doa ibu sentiasa mengiringi diri ini,” katanya.

Gembira dan terharu kerana perkongsian bermanfaat yang dilakukan menjadi asbab kebahagiaan orang lain

Menyingkap kerjayanya kini sebagai doktor dan pempengaruh, Dr Samhan menjelaskan ia bukan tugas mudah.

“Namun, saya gembira kerana impian jadi doktor dan memberi manfaat kepada orang ramai dalam masa sama dapat direalisasi. Dua tahun lalu juga saya menemui dan meneroka platform TikTok.

“Saya juga harus membiasakan rutin merakam dan menyunting video sendiri. Malah tugas memuat naik di laman sosial juga saya lakukan sendiri.

“Tanpa diduga, kandungan yang saya muat naik mendapat tontonan berjuta-juta dan dikongsi ramai. Malah dalam tempoh enam bulan, saya meraih 1 juta pengikut di TikTok,” katanya.

Dr Samhan berkata lagi, dia gembira dan terharu kerana perkongsian bermanfaat yang dilakukannya menjadi asbab kebahagiaan orang lain.

“Ada yang komen mengucapkan terima kasih kerana perkongsian dibuat mengubah skala hidup mereka. Malah tak ketinggalan mendoakan apa saya lakukan sebagai asbab untuk masuk syurga.

“Justeru, kata-kata indah itu menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan apa yang dimulakan. Hidup saya seharian takkan lengkap tanpa memuat naik video bermanfaat. Jadi sekurang-kurangnya kena ada video manfaat setiap hari untuk dikongsi,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Samhan juga berentap sebagai calon dalam Anugerah TikTok 2023 berlangsung Ahad ini bagi kategori Best Of Education.

“Saya teruja dan bersyukur di atas pencalonan ini. Orang kata sudah tercalon itu cukup baik. Tapi kalau menang itu bonus. Namun menang atau kalah, bukan noktah untuk saya terus berkongsi perkara manfaat.

“Malah di sebalik ujian saya lalui, saya kenal erti untuk tidak putus asa. Ia kekuatan kita. Tak lupa minta dititipkan doa ibu yang diumpamakan seperti keberkatan dalam hidup kita,” katanya.

Sebagai rekod, sehingga kini Dr Samhan telah mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di TikTok, 645,000 (Facebook), 240,000 (Telegram), 165,000 (Instagram) dan 70,000 (Twitter).

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: