Kerajaan Selangor Mahu Syor Buat Saringan Air Kencing Dahulu Sebelum Memasuki Konsert
Syor itu antara perkara yang bakal dibincangkan dan diperincikan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Selangor akan mengesyorkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung dalam usaha mengelakkan sebarang pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu
Menerusi laporan daripada Bernama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata, syor itu antara perkara yang bakal dibincangkan dan diperincikan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu ini.
Beliau berkata, ia antara lain bagi melihat kembali kekurangan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam SOP penganjuran sesuatu konsert, termasuk perlu menyediakan kelengkapan mesin pengimbas dan dilaksanakan agar sebarang bahan terlarang dapat dikesan daripada dibawa masuk oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kita mahu perketatkan SOP dan tengok kerjasama yang boleh dilakukan dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana apabila lesen atau permit diberikan, kita mahu pastikan penganjur betul-betul periksa (terutama berkaitan dadah ini).
"Jadi, selepas ini mungkin kena buat atau pemeriksaan urin sebagai antara SOP terhadap pengunjung dan syor ini antara yang akan dibawa dalam mesyuarat MMKN, supaya orang yang menyalahgunakan dadah atau penagih dadah tidak benarkan masuk ke mana-mana konsert," katanya.
Garis panduan pelaksanaan bagi mengelakkan kejadian kematian berkaitan penyalahgunaan dadah berulang
Mengulas lebih lanjut, Ng berkata pertanyaan media berhubung usaha kerajaan negeri menyemak semula garis panduan pelaksanaan konsert di Selangor bagi mengelakkan kejadian kematian berkaitan penyalahgunaan dadah berulang.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan perbincangan akan diadakan bersama Ng bagi tujuan tersebut.
Berhubung sama ada penangguhan pemberian permit konsert mengganggu kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Ng berkata, ia sememangnya memberikan implikasi dan kesan kepada penganjur yang melaburkan wang bagi persiapan penganjuran konsert.
Menurut beliau, ketika ini beliau tidak mempunyai jumlah penganjuran yang terpaksa ditangguhkan namun dalam maklumannya, terdapat satu konsert yang sepatutnya diadakan di Bandar Sunway minggu depan dan dipindahkan ke Kuala Lumpur.
Pada Jumaat lalu, polis Selangor mengumumkan penangguhan sementara kebenaran permit untuk penganjuran konsert di negeri itu, sehingga siasatan kes kematian empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya selesai dijalankan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata arahan serta-merta itu berkuat kuasa sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberikan jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert terutamanya menghalang elemen jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu setelah laporan polis berkaitan kematian mereka dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!