Media Barat Puji Raja Permaisuri Agong Kita Masak Untuk 'Frontliners' Tatkala Covid-19!
Keprihatinan Raja Permaisuri Agong bukan sahaja menarik perhatian dan pujian orang ramai dari dalam negara malah turut mendapat sanjungan netizen luar negara.
Pasti ramai yang sudah mengetahui bahawa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sememangnya gemar memasak dan pandai beraksi di dapur
Bahkan setiap kali berlakunya banjir di negeri Pahang, baginda yang sebelum ini merupakan Tengku Ampuan Pahang sering kali dilihat sanggup menyinsing lengan bajunya semata-mata untuk ‘beraksi di dapur’ bagi memasak lauk-pauk dan memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat serta mencukupi.
Kini, Tunku Azizah masih tidak kekok untuk masuk ke dapur dan memasak bersama cef Istana Negara sekalipun memegang status sebagai Raja Permaisuri Agong. Malahan, menerusi laman Instagram, @airtangan_tunkuazizah, dapat dilihat menu-menu yang dimasaknya bukan sahaja untuk keluarga tetapi untuk kakitangan dan staf di Istana Negara.
Bakat memasak serta sifat keprihatinan yang dimiliki Tunku Azizah sekali lagi jelas kelihatan apabila baginda telah memasak untuk para kakitangan kesihatan barisan pertama yang memerangi penularan wabak Covid-19
Menerusi laman Instagram @airtangan_tunkuazizah juga, dapat dilihat beberapa menu yang dimasak sendiri oleh Tunku Azizah sambil dibantu kakitangan Istana Negara untuk para frontliners di beberapa hospital serta pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Perkara ini bukan sahaja menarik perhatian dan pujian orang ramai dari dalam negara malah turut mendapat sanjungan netizen luar negara yang memuji baginda kerana sudi memasak untuk petugas barisan hadapan Covid-19 itu
Baru-baru ini, satu perkongsian artikel sebuah portal luar negara, Standard UK, oleh seorang netizen di laman Twitter bernama @caveheraa telah mendapat 12 ribu likes dan lebih 6 ribu retweets ketika artikel ini ditulis.
Untuk membaca artikel penuh portal berbahasa Inggeris itu boleh layari laman sesawangnya di sini.
Bukan itu sahaja, seorang lagi netizen dari luar negara dengan nama Twitter @SJPeace turut memuji dan mengagumi Raja Permaisuri Agong sambil menyertakan sekali kata-kata baginda dalam caption tweet tersebut.
Bagaimanapun, buat ketika ini kedua-dua Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah sedang menjalani proses kuarantin di Istana Negara selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tujuh kakitangan istana dijangkiti Covid-19.
Meskipun hasil ujian mendapati YDP Agong dan Raja Permaisuri disahkan negatif Covid-19 namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta demi memastikan pendedahan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara, semua kontak rapat kakitangan tersebut diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari, bermula 25 Mac yang lalu.