Misteri Bahtera Nabi Nuh, Saintis Kesan Struktur Mungkin Tertanam Di Gunung Turkiye
Namun begitu, setakat ini pasukan penyelidik masih belum menemukan sebarang struktur kayu yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penemuan baharu sekumpulan saintis di Turkiye kembali mencetuskan persoalan mengenai lokasi sebenar bahtera Nabi Nuh yang dipercayai terkubur di kawasan pergunungan negara itu

Menurut laporan Utusan Malaysia, pasukan penyelidik antarabangsa kini menjalankan kajian terhadap Formasi Durupınar, sebuah struktur berbentuk kapal yang terletak kira-kira 29 kilometer di selatan Gunung Ararat.
Terbaharu, analisis sampel tanah dari kawasan tersebut mendapati kandungan karbon di bahagian dalam formasi berkenaan jauh lebih tinggi berbanding sampel yang diambil di luar struktur.
Ketua pakar arkeologi, Dr Cenker Atila berkata, kandungan karbon yang dikesan di bahagian dalam formasi adalah kira-kira 40 peratus lebih tinggi berbanding kawasan luar.
Menurut beliau, perbezaan itu berpotensi menunjukkan kewujudan bahan organik, termasuk kemungkinan tinggalan kayu purba.
Namun begitu, setakat ini pasukan penyelidik masih belum menemukan sebarang struktur kayu yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.
Selain analisis tanah, imbasan radar terkini turut menunjukkan beberapa anomali bawah tanah yang bersilang pada sudut tegak

Keadaan itu dipercayai berkemungkinan menunjukkan kewujudan ruang kosong atau struktur pembahagi di bawah permukaan tanah.
Formasi Durupınar mula mendapat perhatian selepas ia dikenal pasti menerusi gambar udara pada tahun 1959.
Sejak itu, bentuknya yang menyerupai sebuah kapal mencetuskan pelbagai spekulasi bahawa kawasan tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan kisah bahtera Nabi Nuh.
Menurut laporan tempatan, struktur itu dikatakan terdedah selepas hujan lebat dan gempa bumi pada Mei 1948 menyebabkan lumpur di kawasan berkenaan mengalir dan menampakkan formasi misteri tersebut.
Walaupun pelbagai kajian telah dijalankan selama beberapa dekad, belum ada bukti saintifik yang mengesahkan Formasi Durupınar sebagai bahtera Nabi Nuh
Penyelidikan terbaharu bagaimanapun mungkin memberikan lebih banyak petunjuk untuk mengkaji struktur berkenaan dengan lebih terperinci.
Untuk masa ini, para penyelidik masih perlu menjalankan kajian lanjut sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat mengenai asal-usul sebenar formasi tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via