seismik

Pembuli Di Sekolah Akan Dihantar Sertai Latihan Tentera Dan Polis

Mereka akan menjalani latihan berbentuk teori dan fizikal secara berterusan.

Cover image via remaja.my

Pelajar yang melakukan kesalahan disiplin khususnya membuli di sekolah akan dihantar menjalani latihan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Menurut laporan BH Online, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata pelajar yang terlibat dalam salah laku akan menjalani latihan berbentuk teori dan fizikal secara berterusan.

Katanya, pelajar yang memiliki kecenderungan terbabit dalam isu disiplin juga akan dihantar menjalani latihan sama sebagai usaha kementerian menangani gejala buli yang berlaku di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon.

Image via www.therakyatpost.my

Menurutnya lagi, Kementerian melaksanakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk menangani isu disiplin murid secara lebih berfokus, termasuk bersama ATM dan PDRM

"Murid yang terbabit dalam salah laku disiplin akan diberikan latihan berbentuk teori dan fizikal secara berterusan dengan menggembling kepakaran serta kemahiran anggota tentera dan polis dalam pelaksanaan aktivitinya.

"Kita juga menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah, mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah dengan kerjasama polis serta mengadakan permuafakatan bersama ibu bapa, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menangani isu ini," katanya sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau juga ditanya Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) mengenai pelan tindakan dirangka kementerian melalui NBOS bagi menyelesaikan isu buli fizikal dan psikologi di sekolah.

Sebelum ini, beliau menjelaskan bukan semua 402 sekolah 'hotspot' memiliki masalah berkaitan disiplin, penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Ada yang disenaraikan kerana berdasarkan maklumat polis, sekolah itu berada di kawasan yang berisiko tinggi berlaku jenayah.

"Penyenaraian itu membolehkan kementerian memberi lebih perhatian pada mereka," katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Zaim mengenai langkah berterusan kementerian membendung isu buli, Sin Woon berkata, guru bimbingan kaunseling di sekolah bertanggungjawab menjalankan beberapa ujian personaliti terhadap pelajar

"Guru bimbingan kaunseling di sekolah menjalankan beberapa ujian personaliti seperti ujian personaliti TAJMA dan ujian personaliti Sidek bagi mengenal pasti murid yang memiliki personaliti cenderung kepada keganasan dan buli," katanya.

Sin Woon berkata lagi jika pembuli adalah pelajar berusia bawah 16 tahun dan melakukan sesuatu yang serius seperti membabitkan nyawa atau kecederaan serius, kes akan dirujuk polis, selain tindakan boleh diambil oleh mahkamah juvana.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi di SAYS:

You may be interested in: