Pembebasan Anwar Ibrahim Ditunda, Lembaga Pengampunan Akan Bertemu Rabu, 16 Mei
Beliau sepatutnya dibebaskan hari ini, 15 Mei.
Lembaga Pengampunan akan bertemu pada hari Rabu, esok, bagi membincangkan permohonan Pengampunan Diraja untuk pemimpin tidak rasmi PKR, DS Anwar Ibrahim
Perkara ini dinyatakan melalui tweet yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
TERKINI: @PMOMalaysia memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat Rabu, 11pg.
— Fahmi Fadzil (@fahmi_fadzil) May 14, 2018
Oleh itu, semua himpunan berkaitan pembebasan @anwaribrahim ditunda sehingga makluman lanjut.
Sebarang kesulitan dikesali.
"Oleh itu, sebarang program yang berkaitan dengan pembebasan DS Anwar Ibrahim akan ditangguhkan sehingga notis lanjut," tambahnya lagi menurut laporan The Star.
Sebelum ini, anak perempuan DS Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah berkata bapanya sepatutnya dibebaskan dari penjara hari ini
Pada tahun 2015, DS Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan di atas kesalahan meliwat.
Beliau yang bakal mendapat pengampunan penuh dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bebas untuk mengambil bahagian dalam politik sepenuhnya.
Untuk makluman, berikut adalah prosedur yang perlu dilalui sebelum mendapat pengampunan penuh yang diperoleh daripada Harian Metro
1. Hantar Petisyen
Perkara paling utama dalam permulaan proses ini adalah menghantar petisyen kepada Lembaga Pengampunan menerusi Mahkamah Tinggi sama ada oleh wakil atau pesalah.
2. Mesyuarat Lembaga Pengampunan
Sebaik petisyen diterima, lembaga pengampunan akan mengadakan mensyuarat.
Antara ahli lembaga terlibat adalah Yang di-Pertuan Agong (juga pengerusi), Peguam Negara, Menteri yang menjaga hal ehwal berkenaan dan tiga lagi ahli yang dilantik.
3. Keputusan
Selepas mesyuarat, tibalah masa untuk membuat keputusan sama ada setuju dengan pengampunan terbabit atau tidak.
4. Kembali kepada prosedur pertama
Sekiranya keputusan tidak menyebelahi pesalah, maka ia berbalik kepada prosedur pertama.
Namun jika setuju, proses akan terus ke prosedur ke-5.
5. Pengampunan
Jika keputusan ini dibuat, ini bermakna pesalah akan mendapat pengampunan, sekali gus akan dibebaskan.
6. Proses terakhir
Proses ini membabitkan pentadbiran di peringkat penjaga oleh peguam yang mewakili pesalah.