PH, BN Capai Kesepakatan Tubuh 'Kerajaan Negeri' Bersama Di Perak & Pahang
Sebagai rekod, ini pertama kali PH & BN menjalinkan hubungan kerjasama bagi menubuhkan kerajaan negeri.
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) telah mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan negeri di Pahang dan Perak
Menerusi laporan Malaysia Dateline, menurut sumber PH, melalui persetujuan itu, wakil BN akan menjadi menteri besar di Pahang manakala wakil PH akan menjadi menteri besar di Perak.
Dalam pilihan raya umum kelmarin, PH mendapat 24 kerusi di Perak, PN (26) manakala BN (9).
Apabila PH dan BN bergabung, mereka membentuk majoriti dua per tiga di Perak apabila mendapat 33 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 59 kerusi itu.
Di Pahang pula, BN mendapat 16 kerusi, PH (8) manakala PN (17).
Apabila bergabung PH dan BN mendapat 24 kerusi dari 41 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Pahang. Gabungan ini membentuk majoriti mudah tetapi tidak sampai dua pertiga.
Dalam perkembangan lain, pemimpin-pemimpin utama dari parti PH dan BN difahamkan berjumpa di Hotel Seri Pacific bagi membincangkan hala tuju pembentukan kerajaan persekutuan
Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.
Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.
BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi beliau sudah mendapat bilangan yang cukup untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, berdasarkan sokongan Ahli Parlimen secara individu.
Beliau menegaskan dalam Perlembagaan, tidak dinyatakan seseorang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan parti saja tetapi perlu memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Follow SAYS Seismik dan dapatkan berita serta liputan politik tanah air terkini di sini sekarang!
Follow SAYS Seismik dan dapatkan berita serta liputan politik tanah air terkini di sini sekarang!