PNB Bakal Perkenalkan Dana Baharu Patuh Syariah Tahun 2024
Difahamkan, beliau tidak bercadang untuk memperkenalkan lagi dana harga tetap, tetapi lebih kepada pelancaran dana harga berubah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) bercadang memperkenalkan dana berkaitan pasaran wang pada 2024 bagi memperluaskan lagi rangkaian penawaran produk untuk memenuhi keperluan pelabur di negara ini
Menerusi laporan Berita Harian, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata PNB sudah melancarkan produk sukuk, yang juga adalah produk harga berubah sebelum ini dan ia mendapat sambutan yang baik.
"Kami bercadang memperkenalkan produk pasaran wang pada 2024. Ia adalah dana syariah. Kami tidak bercadang untuk memperkenalkan lagi dana harga tetap, jadi apa sahaja yang kami perkenalkan akan berada dalam ruang harga berubah," katanya.
PNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) menguruskan 17 dana unit amanah, yang terdiri daripada enam dana berharga tetap dan 11 dana harga berubah dengan unit dalam edaran (UIC) kira-kira 280 bilion unit daripada lebih 15 juta akaun.
Mengenai rancangan mempelbagaikan portfolio pelaburan menuju ke hadapan, Ahmad Zulqarnain berkata, PNB bercadang untuk meningkatkan pendedahan pelaburan dalam pendapatan tetap.
Beliau berkata, ketika ini, pelaburan dalam pendapatan tetap adalah sekitar tujuh hingga lapan peratus dan pihaknya bercadang meningkatkan kepada dua angka.
Mengenai tinjauan persekitaran pasaran menuju ke depan, Ahmad Zulqarnain berkata, pihaknya positif terhadap perkembangan pasaran dengan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan menurun pada separuh kedua 2024 dan jika penurunan itu berlaku, ia adalah positif kepada pasaran secara keseluruhan, malah ia juga positif terhadap ringgit.
"Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), kami jangka ia stabil dan kekal pada paras semasa. Kami tidak jangkakan kenaikan atau penurunan buat masa ini," katanya.
PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion.
Sebagai rekod, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) baru-baru ini mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!