Kamal Adli Sah Jadi Hos Baharu Melodi, Bakal Bergandingan Dengan Ain Edruce
Mesti meriah gandingan ni.
Cover image via NSTFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas teka-teki mengenai pengganti Fikry Ibrahim menjadi bualan ramai, akhirnya TV3 mengumumkan pelakon popular Kamal Adli sebagai pengacara baharu program hiburan ikonik, Melodi

Menurut laporan Buletin TV3, Kamal bakal bergandingan dengan Ain Edruce sebagai duo hos yang dijangka membawa pembaharuan kepada program yang sudah lebih tiga dekad menjadi pilihan penonton Malaysia.
Menurut Kamal, peluang mengendalikan Melodi merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya. Dia turut mengakui teruja untuk bekerjasama dengan Ain dan tidak sabar memulakan tugas sebagai hos.
"Terima kasih kepada Melodi sebab sudi ambil saya jadi pengacara untuk program ini. Saya memang teruja nak bekerjasama dengan Ain. Rasa tak sabar!" katanya.
Bukan sekadar menampilkan hos baharu, Melodi turut tampil dengan identiti yang diperbaharui sepenuhnya

Program hiburan itu kini mengetengahkan konsep lebih moden dan dinamik, termasuk perubahan pada set studio, visual serta skop liputannya bagi memenuhi cita rasa penonton masa kini.
Selain itu, Melodi juga tidak lagi bersiaran pada hari Ahad seperti sebelum ini. Bermula sekarang, program tersebut akan bersiaran secara langsung setiap hari Khamis pada jam 9 malam di TV3, selain boleh distrim menerusi platform Tonton.
Dalam usaha memperluaskan kandungannya, Melodi turut memperkenalkan segmen baharu dikenali sebagai Muzik-Muzik 41, yang akan memaparkan perkembangan terkini carta muzik tempatan serta memberi peluang kepada peminat menyertai proses pengundian lagu kegemaran mereka menuju Anugerah Juara Lagu (AJL). Segmen itu turut mendapat kerjasama Hot FM sebagai rakan radio rasmi.
Dengan kehadiran Kamal Adli dan pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan, ramai pastinya tidak sabar melihat bagaimana gandingan Kamal dan Ain bakal menghidupkan semula aura Melodi untuk terus kekal relevan dalam dunia hiburan tempatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


