“Rasa Macam Main Squid Game” – Pelancong Eropah Terkejut Budaya Jalan Kaki Di KL
Menurutnya, walaupun terdapat lintasan pejalan kaki, kebanyakan kenderaan tidak berhenti dan memandu laju.
Cover image via @verasplot (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kuala Lumpur sememangnya terkenal sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di Asia Tenggara
Dari bangunan pencakar langit ikonik hingga syurga makanan yang memikat, ibu negara Malaysia itu sering meninggalkan pengalaman manis buat pengunjung luar negara.
Namun, bagi seorang pelancong dari Eropah, ada satu perkara di KL yang benar-benar membuatkan dirinya 'terkejut budaya' iaitu pengalaman berjalan kaki di tengah bandar.

Menerusi satu perkongsian tular di media sosial, wanita tersebut mengakui dia sangat menyukai Malaysia dan menganggap rakyat negara ini antara yang paling baik pernah ditemuinya sepanjang mengembara hampir dua tahun di Asia.
"Saya suka Malaysia, suka makanan di sini dan orang Malaysia memang terbaik," katanya.
Tetapi di sebalik pujian itu, dia mendakwa berjalan kaki di Kuala Lumpur terasa seperti permainan survival kerana keadaan jalan raya yang menurutnya kurang mesra pejalan kaki
"Kenapa rasa macam main Squid Game bila nak melintas jalan di KL?" soalnya berseloroh namun penuh makna.
Menurutnya, walaupun terdapat lintasan pejalan kaki, kebanyakan kenderaan tidak berhenti dan memandu laju. Malah, ada kawasan yang langsung tidak mempunyai laluan pejalan kaki yang selesa.
Sebagai individu yang berasal dari Eropah, dia sudah terbiasa berjalan kaki ke mana-mana termasuk ke kedai kopi atau lokasi berdekatan. Namun di Kuala Lumpur, pengalaman itu bertukar menjadi sesuatu yang menegangkan.
Luahan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen tempatan. Ada yang bersetuju bahawa budaya berjalan kaki di Malaysia masih kurang diberi perhatian, manakala sebahagian lain berpendapat keadaan cuaca panas dan budaya penggunaan kereta menjadi faktor utama.

