Siapa Sangka Rekaan Tudung Rakyat Malaysia Ini Jadi Pilihan Polis Muslim Di UK. Terbaik!

Dr. Elies kini turut dihubungi bomba wanita Muslim UK untuk mencipta tudung untuk mereka pula.

Menempa nama di bumi asing bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan memerlukan kerja keras, keberanian mengambil risiko, dan sentiasa tekad untuk berjaya

Begitulah yang berlaku kepada seorang wanita yang berasal dari Malaysia ini yang berjaya menempa nama di United Kingdom (UK) apabila tudung rekaannya menjadi pilihan untuk dipakai polis wanita Muslim di sana.

Semuanya bermula apabila Dr. Eliesmaziah Alias, 45, atau lebih mesra disapa Dr. Elies mengambil langkah kanan ketika berjumpa beberapa polis ketika satu pameran di UK.

Katanya kepada Harian Metro, “Saya tengok material pakaian seragam mereka tidak sesuai untuk anggota polis, saya berbincang dengan mereka dan daripada situ bermulalah perbincangan saya dengan pihak atasan mereka."

“Tudung sukan jenama MoreSlim saya mereka gunakan untuk polis wanita Muslim barisan hadapan yang biasa seterusnya meminta saya membantu mencipta hijab yang sesuai untuk polis wanita Muslim taktikal unit.

“Malah, saya kini turut dihubungi bomba wanita Muslim UK untuk menghasilkan rekaan tudung buat mereka,” tambah wanita yang berasal dari Melaka tapi kini menetap di Manchester itu.

Dr. Elies yang juga merupakan pemegang PhD Biomaterial & Biomedical Engineering bukan sahaja merupakan pemilik kepada tudung sukan jenama ‘MoreSlim’ tetapi juga merupakan pemilik, pengasas dan penyelidik bagi ‘Instant Hijab UK'

Mungkin ada yang merasakan MoreSlim agak mahal, namun harus dinilai dari kos awal penyelidikan untuk menghasilkan tudung itu yang agak tinggi lebih-lebih lagi kerana ianya bukan seperti tudung biasa.

"Tudung saya lain daripada segi reka bentuknya, ciri-ciri keselamatan dan yang paling penting tentang komposisi fabriknya yang direka khas, ada pengesahan ISO (International Organization for Standardization) EN (European Standard) dan AATCC (American Association of Textile Chemists and Colorists) malah sangat selesa dipakai untuk waktu yang panjang, lama atau keadaan tertekan,” katanya.

Dr. Elies yang juga merupakan Pengetua Sekolah Komuniti Malaysia Manchester itu menyatakan bahawa tudung rekaannya itu sebenarnya sudah pun dipakai polis negara berbabit sejak Oktober tahun lalu.

“Ada dua rekaan tudung untuk mereka, hanya berbeza pada lambang pasukan mengikut kontinjen.

“Untuk polis biasa sama dengan tudung MoreSlim yang boleh dibeli orang ramai dan tudung yang khas pula untuk pasukan barisan hadapan. Bagaimanapun buat masa ini, saya tidak dapat dedahkan jumlah berapa ramai polis wanita Muslim yang memakai tudung saya di UK,” katanya.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Daily Record

Bahkan, banyak kali rekaannya menjadi eksperimen polis di UK dan beliau berharap dapat menabur bakti kepada pasukan keselamatan negara ini.

“Tudung saya istimewa dan saya benar-benar berharap dapat membantu polis, tentera dan anggota keselamatan lain di Malaysia," ujarnya.

Menceritakan pengalamannya bekerjasama dengan pihak polis UK, Dr. Elies berkata dia gembira dengan kerjasama itu dan menggambarkan mereka sebagai sentiasa menghormati ilmu dan kepakaran beliau meskipun beliau rakyat Malaysia

“Mereka faham dan menghormati orang Islam. Ada cerita yang buat saya tersentuh, saya dihubungi seorang bos di salah satu kontinjen polis UK yang banyak berbincang dengan saya mengenai pakaian sesuai untuk polis wanita Islam terutama tudung.

“Saya diminta mereka tudung yang sesuai untuk polis Islam bertugas di barisan hadapan, tidak beberapa ketika, bos berkenaan menghubungi saya lagi dalam keadaan tergesa-gesa ingin menempah tudung yang sedia ada tanpa menunggu tudung istimewa siap berikutan minggu depannya terdapat seorang anggota polis wanita Islam mula bekerja dengan pasukannya. Lebih menyentuh hati saya, dia mahu anggotanya itu bersedia dan bertugas dalam keadaan selesa malah sanggup menggunakan duit sendiri membeli tudung saya,” katanya.

Tudung MoreSlim yang boleh dibeli menerusi laman web www.instanthijabs.co.uk itu dilancarkan di London pada April 2018.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment