Resorts World Genting Tawar Servis Helikopter, Perjalanan Dari Subang Cuma 25 Minit Sahaja
Perkhidmatan ini menggunakan helikopter jenis AW139 VIP Twin-Engine yang mempunyai kapasiti sehingga lapan penumpang.
Cover image via Resorts World GentingFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengunjung yang merancang percutian ke Resorts World Genting kini mempunyai pilihan pengangkutan baharu apabila perkhidmatan sewaan helikopter diperkenalkan bagi menawarkan perjalanan lebih pantas dan eksklusif ke pusat peranginan tanah tinggi itu
Menerusi laporan Resorts World Genting, pengunjung boleh menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Subang ke Resorts World Genting atau Resorts World Awana dengan anggaran masa penerbangan hanya 25 minit.
Menariknya, perkhidmatan ini menggunakan helikopter jenis AW139 VIP Twin-Engine yang mempunyai kapasiti sehingga lapan penumpang dalam satu penerbangan.
Ia sekali gus memberikan alternatif kepada pengunjung yang mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas, selain menikmati pemandangan indah sekitar ibu kota dan kawasan tanah tinggi sepanjang perjalanan.

Menurut maklumat yang dikongsikan Resorts World Genting, pakej berkenaan turut merangkumi taklimat keselamatan selama kira-kira 10 minit di ruang menunggu berserta minuman ringan sebelum penerbangan.
Setibanya di destinasi, penumpang juga akan menikmati perkhidmatan pemindahan menggunakan limosin secara percuma ke mana-mana lokasi atau hotel di Resorts World Genting dan Resorts World Awana.
Perkhidmatan helikopter dibuka untuk tempahan hingga 31 Disember 2026
Untuk makluman, perkhidmatan sewaan helikopter premium itu turut dikendalikan oleh juruterbang berpengalaman dan berlesen serta dibuka untuk tempahan sehingga 31 Disember 2026.
Pendaratan akan dibuat di beberapa lokasi yang ditetapkan, termasuk helipad Genting Alpha A yang terletak bertentangan dengan RW Hotel, helipad Chin Swee atau helipad GHPO.
Bagaimanapun, lokasi pendaratan adalah tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.

Selain menjadi pilihan pengangkutan eksklusif, perkhidmatan ini juga sesuai untuk mereka yang ingin meraikan majlis istimewa seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan atau merancang kejutan lamaran di Genting Highlands.
Bagi pengunjung yang berminat, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal.
Untuk sebarang pertanyaan atau urusan tempahan, pengunjung boleh menghubungi pihak Resorts World Genting menerusi talian +603-2718 1118 atau menghubungi hos masing-masing.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


