Da’i Syed Terlepas Hukuman Penjara & Dibebaskan Daripada Tuduhan Merogol Seorang Wanita
Da'i Syed yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis sejurus keputusan majoriti itu diumumkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Da'i Syed dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu
Menerusi laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat majoriti 2-1 dengan hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan akhir Da'i Syed manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menentang keputusan itu.
Semasa membaca keputusan itu, Azman berkata, pembelaan perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
"Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, rayuan perayu dibenarkan, hukuman pemenjaraan 10 tahun tiga sebatan oleh mahkamah tinggi diketepikan," kata Azman ketika membaca penghakimannya.
Da'i Syed yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis sejurus selepas keputusan majoriti itu diumumkan manakala isterinya Hana Ismail yang berada di galeri awam turut menangis.

Pendakwah selebriti itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun
Pengakuan tidak bersalah itu dibuat pada 10 Disember 2020 atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 sekitar jam 1.35 pagi 11 September 2019.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 30 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan dengan Syed Shah Iqmal diperintahkan ke penjara pada hari sama.
Selepas 21 hari di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via