Zoo Negara Dilanda Banjir Kilat, Oyen Terselamat & Seekor Capybara Terlepas
Kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga jam 11.30 malam.
Hampir lebih satu jam Zoo Negara dilanda banjir bermula jam 5 petang semalam
Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, banjir kilat yang berlaku pada petang semalam dikatakan tidaklah seteruk seperti yang pernah berlaku sebelum ini dan semua haiwan berada dalam keadaan selamat.
Walaupun berlaku terlepasnya seekor Capybara semasa kejadian itu, haiwan itu berjaya diselamatkan dan dikembalikan ke kawasannya. Seekor kucing bernama Oyen yang juga tinggal bersama di kawasan Capybara juga didapati selamat.
"Kebetulan sewaktu kejadian, kakitangan kita belum balik lagi dan mereka berada dalam keadaan bersedia.
"Semua haiwan kita juga berada dalam keadaan selamat kecuali seekor capybara terlepas keluar. Tetapi ia dapat diselamatkan dan dimasukkan balik oleh kakitangan kita.
"Selain itu, dua panda juga selamat kerana berada di tempat yang tinggi," katanya kepada sumber.
Zoo Negara beroperasi semula hari ini seperti biasa
Tambah Rosly, kerja-kerja pembersihan akibat banjir yang berlaku semalam sudah diselesaikan setelah dijalankan malam tadi.
"Zoo Negara sudah dibersihkan sehingga jam 11.30 malam. Saya berterima kasih kepada pihak bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana membantu Zoo Negara. Tanpa mereka kerja-kerja pembersihan itu tidak akan siap," katanya.
Timbalan Presiden Zoo Negara itu turut memaklumkan Zoo Negara telah dibuka semula pada hari ini dan ia beroperasi seperti biasa.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!