Sekolah Perlu Batalkan Aktiviti Luar Jika Bacaan IPU Catat Lebih 100
Kurangkan aktiviti luar!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekolah perlu hentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid di kawasan Pulau Pinang yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat
Menerusi laporan Bernama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata laman sesawang rasmi JAS, iaitu Air Pollutant Index Management System (APIMS) menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden di George Town petang semalam.
"Kami sedang memantau keadaan IPU dari semasa ke semasa buat masa ini dan mengambil tindakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Sekolah yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat masih beroperasi seperti biasa tetapi tiada sebarang aktiviti di luar bilik darjah dibenarkan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Sebanyak tujuh sekolah, melibatkan empat sekolah rendah dan tiga sekolah menengah berada di kawasan sekitar Minden. Jika tahap IPU masih merekodkan bacaan tidak sihat pagi esok, pihak sekolah akan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah," katanya.

Sekolah perlu ditutup serta-merta jika bacaan IPU melebihi 200
Berdasarkan garis panduan berhubung pengurusan sekolah ketika fenomena jerebu, sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala jika bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.
Garis panduan itu turut menetapkan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang berada di bawah 200 dan menunjukkan trend penurunan.
Mohamad Dziauddin berkata berkata murid juga dinasihatkan supaya memakai pelitup muka serta minum air dengan kerap manakala pihak sekolah perlu merujuk murid yang didapati tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via